Peniaga, pemborong naikkan harga ayam diberi notis

Peniaga ayam terpaksa menaikkan harga ayam susulan kenaikan daripada pemborong dan pemilik ladang yang mencecah RM8.50 sekilogram di Pasar Besar Kuantan.
Peniaga ayam terpaksa menaikkan harga ayam susulan kenaikan daripada pemborong dan pemilik ladang yang mencecah RM8.50 sekilogram di Pasar Besar Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mengeluarkan notis kepada seramai enam peniaga dan dua pemborong untuk mengemukakan alasan berkaitan kenaikan harga ayam yang dikesan sejak dua minggu lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali berkata, susulan itu, mereka diberikan tempoh tiga hari untuk mengemukakan maklum balas notis berkenaan serta dokumen sokongan dan sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mereka.

"Saya difahamkan harga ayam runcit sebelum ini antara RM4.70 hingga RM5.80 sekilogram (kg), namun ia dikatakan meningkat antara RM8.50 dan RM9.50kg.

"KPDNHEP Pahang akan mendapatkan maklumat daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang bagi mengenal pasti bekalan ayam sama ada stabil atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Ahmad Fitri berkata, kenaikan harga ayam ternyata memberi kesan kepada pengguna yang kini sedang menjalani ibadah puasa dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jelasnya, pihak peniaga dan pemborong perlu memikirkan beban yang terpaksa dihadapi pengguna.

"Jadi, perbuatan menaikkan harga sesuka hati tidak seharusnya berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fitri menjelaskan, pihaknya sebelum ini sudah melakukan pemeriksaan di 53 premis runcit menjual ayam, enam premis pemborong dan dua ladang di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil pemeriksaan itu, sebanyak lapan notis dikeluarkan membabitkan empat pemborong dan dua peladang di Kuantan serta dua pemborong di Temerloh.

"Mereka juga diminta untuk mengemukakan alasan dalam masa ditetapkan dan jika terbukti bersalah, mereka akan didakwa

mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Di bawah akta ini memperuntukkan hukuman denda sebanyak RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kedua didenda RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tambahnya, pihak KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan peniaga, pemborong dan pemilik ladang yang bertindak sesuka hati menaikkan harga ayam tanpa sebarang alasan kukuh.

"Justeru, pihak kita akan terus meneruskan menjalankan pemeriksaan bagi mengelakkan pihak peniaga, pemborong dan pemilik ladang ambil kesempatan untuk meraut keuntungan lebih pada musim perayaan," katanya.

Pada 14 Mei lalu, Sinar Harian mendedahkan kenaikan harga ayam susulan rungutan pengguna berhubung perkara itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!