Agong tiba di bangunan Parlimen
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di Bangunan Parlimen pada jam 9.56 pagi bagi merasmikan pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-14 hari ini.
Istiadat pembukaan Parlimen kali ini dijadualkan akan disempurnakan Seri Paduka Baginda pada jam 10 pagi.
Bagaimanapun Persidangan Dewan Rakyat hari ini hanya akan berlangsung sehari sahaja dan hanya membabitkan urusan Titah Diraja.
Tiada persidangan penuh akan diadakan selepas Titah Diraja melalui mesyuarat pertama Dewan Rakyat hari ini.
Ketetapan ini dibuat selaras dengan keadaan semasa negara yang masih belum reda sepenuhnya daripada wabak koronavirus (Covid-19).
Pindaan ini juga selaras dengan peraturan 11 (2) dan 15 (2) peraturan2 majlis mesyuarat Dewan Rakyat.
Sidang Dewan Rakyat akan ditangguhkan selesai titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, akan bersambung 15 hari mulai 13 Julai depan.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarah lebih enam dekad Parlimen Malaysia yang mana sebuah majlis mesyuarat berlangsung tanpa sidang penuh.
Terdahulu, polis mengawal ketat laluan masuk ke Bangunan Parlimen dan kebanyakan warga media yang mula hadir sejak kira-kira jam 8 pagi tadi hanya dihadkan berada di luar kawasan sekitar.
Hanya media rasmi yang dibenarkan terlibat membuat liputan perasmian pembukaan kali ini.
Kesemua mereka yang diberi kebenaran berada di Parlimen bagi menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, juga telah disahkan negatif Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata, setakat ini jumlah yang dikenal pasti bertugas dan hadir esok adalah seramai 960 individu termasuk ahli Parlimen, orang kenamaan dan warga kerja Parlimen.
Prosedur tersebut dibuat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 dan juga penerapan normal baharu antaranya menjaga penjarakkan sosial.
Sebelum ini, sidang Dewan Rakyat sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 9 Mac sehingga 16 April lalu dengan istiadat pembukaan oleh yang di-Pertuan Agong kemudian, disusuli dgn pembentangan Rang Undang-Undang serta usul kerajaan sahaja.
Tiada sesi pertanyaan jawab lisan, sesi pertanyaan menteri serta usul dari mana-mana ahli Parlimen.
Namun notis mesyuarat akhirnya dipinda dengan menetapkan hanya urusan Titah Diraja sahaja berlangsung hari ini.
Antara usul yang sepatutnya dibawa dalam persidangan Dewan Rakyat pada hari ini adalah perisytiharan pelantikan ketua pembangkang, pelantikan jawatankuasa pilihan (select committee) serta Pengerusi dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!