Orang ramai serbu kaunter JPJ
KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dipenuhi pelanggan selepas agensi itu membuka kaunter perkhidmatan untuk semua urusan bermula hari ini.
Tinjauan Sinar Harian pada jam 8 pagi mendapati orang ramai orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan dengan menjalani saringan suhu badan sebelum memasuki pintu utama jabatan itu.
Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata, pelanggan juga diwajibkan memakai topeng muka serta penggunaan sanitizer selain mengamalkan penjarakkan sosial satu meter.
"Hanya pelanggan yang sihat dan mengikut syarat sahaja yang dibenarkan masuk melaksanakan urusniaga," katanya.
"Mereka tidak perlu panik dan menyerbu kaunter. Diingatkan juga kenderaan persendirian masih tertakluk kepada pengecualian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan syarat kenderaan itu masih dilindungi dengan perlindungan insurans yang sah," katanya.
Sebelum ini, JPJ membuka perkhidmatan kaunter secara berperingkat susulan keputusan kerajaan membuka semula sektor ekonomi negara menerusi pelaksanaan PKPB.
Melalui kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum ini memaklumkan JPJ beroperasi tujuh hari seminggu bagi membolehkan urus niaga tertunggak diselesaikan secepat mungkin untuk mengelakkan kesesakan di kaunter.
Waktu operasi adalah dari jam 8 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja dan 8 pagi hingga 1 tengah hari pada hujung minggu (Jumaat dan Sabtu di beberapa negeri berkaitan).
Pembayaran secara tunai bagi semua urusan di cawangan JPJ dibenarkan hanya pada jam 8 pagi hingga 11 pagi sementara pembayaran tanpa tunai atau e-payment termasuk transaksi melalui kad debit dan kad kredit pula diterima mulai jam 8 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja.
Pembayaran secara e-payment dibenarkan untuk semua urusan hanya pada hari minggu.
Sempena musim perayaan Aidilfitri pula, perkhidmatan kaunter JPJ akan ditutup mulai 23 Mei hingga 26 Mei ini, dan kembali beroperasi pada 27 Mei.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!