Negara maju, stabil tanpa rasuah: Agong

Ahli Parlimen tekun mendengar titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
Ahli Parlimen tekun mendengar titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi peringatan bahawa apa jua pelan dan program ke arah pembentukan sebuah negara maju yang stabil dan makmur tidak akan tercapai sekiranya negara terus dibelenggu amalan rasuah.

Seri Paduka bertitah, pelaksanaan program pembangunan berteraskan amalan integriti dan tadbir urus yang baik adalah penting bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan serta demi menjaga kesejahteraan rakyat dan negara.

“Beta menggesa agar kerajaan beta untuk terus komited dalam melaksanakan pelan antirasuah nasional. Beta menyeru semua pihak untuk mendukung aspirasi ini agar setiap agenda pembangunan negara tidak terhakis oleh amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Tanamkan di dalam minda masyarakat semenjak di bangku sekolah lagi bahawa rasuah adalah jijik, kotor dan wajar diperangi habis-habisan,” titah Seri Paduka dalam Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini.

Menyentuh aspek keselamatan negara, Al-Sultan Abdullah berharap kerangka strategi dan dasar pertahanan masa hadapan negara perlu mengambil kira kepentingan diplomasi pertahanan, dasar luar negara yang pragmatik, triti antarabangsa dan kedudukan geopolitik negara di rantau Asia-Pasifik.

Titah Seri Paduka, peningkatan aktiviti ketenteraan kuasa-kuasa besar mutakhir ini wajar diberikan perhatian kerajaan.

“Oleh kerana itu, Malaysia hendaklah sentiasa peka kepada domain maritim negara di samping terus merangka strategi untuk mendukung aspirasi geopolitik negara.

“Pada masa sama, tahap keselamatan dalam negara hendaklah terus dipertingkatkan terutamanya dalam menangani pelbagai jenayah, penyalahgunaan dadah, penyeludupan dan juga pemerdagangan manusia,” titah Al–Sultan Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Seri Paduka juga mahu kerajaan merangka pendekatan yang komprehensif dalam menangani kemasukan pendatang asing tanpa izin yang boleh menimbulkan pelbagai masalah daripada aspek ekonomi, sosial dan keselamatan negara.

“(Kawalan di) Sempadan negara yang terbuka luas perlu terus diperkukuhkan dalam usaha mengekang laluan rentas sempadan pendatang asing tanpa izin,” titah Yang di-Pertuan Agong. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!