Jangan lupa Sabah dan Sarawak, titah Agong

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu kerajaan terus menggiatkan usaha dan inisiatif bagi merapatkan jurang pembangunan dan ekonomi antara negeri, juga di Sabah dan Sarawak.

Usaha berkenaan merangkumi peningkatan mobiliti rakyat dengan menambah baik rangkaian dan infrastruktur asas serta sistem pengangkutan.

Seri Paduka bertitah bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merapatkan jurang pembangunan di Sabah dan Sarawak, kerajaan mengambil langkah menerusi pelaksanaan projek-projek infrastruktur kritikal di kedua-dua negeri berkenaan.

“Beta berharap rakyat di Sabah dan Sarawak akan dapat menikmati jaringan perhubungan dan kemudahan yang berkualiti dan lebih baik,” titah Yang di-Pertuan Agong dalam Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain pembangunan infrastruktur di kedua-kedua negeri itu, Seri Paduka bertitah kerajaan perlu turut memberi perhatian terhadap kawasan pedalaman di Semenanjung terutamanya di penempatan masyarakat orang asli.

Merujuk data terkini yang menunjukkan lebih dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di bandar, Al-Sultan Abdullah bertitah kesejahteraan masyarakat khususnya golongan B40 dan M40 serta belia di bandar perlu dipertingkatkan meliputi usaha pemilikan rumah menerusi dasar perumahan mampu milik dan skim sewa milik.

“Sebagai kerajaan yang prihatin, kos sara hidup rakyat akan terus ditangani dengan sebaik mungkin,” titah Seri Paduka.

Menyentuh tentang iltizam kerajaan untuk meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan yang saksama kepada rakyat, Seri Paduka bertitah perkhidmatan kesihatan akan diperkasa dengan menjurus kepada pencegahan dan perawatan secara holistik kepada masyarakat luar bandar, orang asli serta peribumi di Sabah dan Sarawak. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!