114 ahli Parlimen duduk di kerusi kerajaan
KUALA LUMPUR - Seramai 114 ahli Parlimen Perikatan Nasional duduk di kerusi kerajaan pada Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Dengan kedudukan tersebut, Perikatan Nasional dilihat mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan. Jumlah kerusi yang diperlukan bagi membentuk kerajaan ialah sebanyak 113.
Parti memerintah memerlukan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.
Sementara kerusi pembangkang pula diduduki oleh seramai 107 orang ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan hanya seorang ahli Parlimen duduk di kerusi bebas iaitu Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian.
Bekas Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat duduk di kerusi pembangkang bersama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Keadaan tersebut dilihat agak janggal apabila ahli Parlimen daripada parti yang sama, tetapi duduk di kerusi berlainan.
Dalam pada itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat berada di sebelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Buat pertama kali dalam sejarah, tiada jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam barisan Menteri Kabinet.
Di sebelah kanan Azmin pula ialah tempat duduk Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pelantikan Muhyiddin, 72, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Perdana Menteri kelapan dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Pagoh itu dilantik ke jawatan nombor satu kerajaan susulan peletakan jawatan Mahathir pada 24 Februari lalu, sehingga mencetuskan krisis politik tanah air, menyaksikan kerajaan PH hilang kuasa dan perubahan gabungan parti-parti politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!