Jalan ke masjid rosak teruk
DUNGUN - Hujan lebat berterusan pada hujung tahun lalu menyebabkan laluan dan jalan untuk ke masjid di kampung Minda mengalami kerosakan teruk.
Penduduk merungut kerana masalah tersebut menyukarkan urusan harian mereka dan terpaksa mencari laluan alternatif lain untuk ke masjid.
Mereka juga berharap kerosakan yang berlaku segera dibaik pulih supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.
Masalah tersebut mendapat perhatian Penyelaras Dun Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang turun padang meninjau lokasi bermasalah.
Ghazali berkata, laluan jalan kampung berkenaan terpaksa ditutup kerana boleh mengundang bahaya.
Menurutnya, keadaan itu menyukarkan penduduk untuk ke masjid menunaikan kewajipan dan mengimarahkan rumah ibadat.
"Masalah ini disebabkan oleh hujan lebat yang berlaku pada akhir tahun lepas dan terdapat lubang terbentuk.
"Ia berlaku akibat mendapan dan hakisan menyebabkan jalan ini ditutup buat sementara waktu," katanya.
Beliau berkata, masalah tersebut akan dibawa kepada pihak atasan supaya jalan penyelesaian dapat diambil.
"Dari segi kos dan peruntukan, ia masih belum diputuskan dan kita serahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tentukannya.
"Penduduk amat berharap jalan tersebut segera dibaik pulih kerana mereka terpaksa menggunakan jalan besar (luar kampung) untuk ke masjid.
"Walaupun jalan kampung ia begitu bermanafaat kepada penduduk di sini.
"Tambahan pula jika tidak dibaikpulih lama-kelamaan ia akan runtuh begitu sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!