Dilahirkan ketika PKP, bayi kembar tiga jadi tumpuan

Zahariah (kiri) mendukung Fattah Salahuddin dan Zulkifli mendukung Fattah Zulfadli manakala Fattah Zulfaqar kembar ketiga masih dirawat di hospital.
Zahariah (kiri) mendukung Fattah Salahuddin dan Zulkifli mendukung Fattah Zulfadli manakala Fattah Zulfaqar kembar ketiga masih dirawat di hospital.
A
A
A

PONTIAN - Bayi lelaki kembar tiga, Fattah Salahuddin, Fattah Zulfadli dan Fattah Zulfaqar yang dilahirkan ketika dunia sedang berusaha mencegah penularan Covid-19 mencuri tumpuan apabila kisah mereka tular di media sosial.

Gelaran bayi Corona, bayi PKP dan bayi Covid-19 diberikan di media sosial kepada bayi kembar terbabit yang dilahirkan pada 2 April lalu.

Bagaimanapun bayi ketiga Fattah Zulfaqar masih di pantau di wad Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru kerana masalah jantung lemah.

Selepas tular di media sosial sejak kelmarin, ibu bapa bayi kembar berkenaan Zahariah Yusof, 40, dan Zulkifli Zakaria, 43, menerima pelbagai bantuan.

Zahariah yang ditemui di rumahnya di Penerok Pontian berkata, beliau turut dihujani dengan panggilan dan pesanan WhatApps yang mahu mengetahui kebenaran kisah bayi kembar tiga yang tular itu.

"Saya amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang membantu. Maaf jika saya tidak balas WhatApps sebab sudah lebih 1,000 diterima.

"Saya dan suami juga terpaksa berulang-alik ke hospital untuk melihat keadaan Fattah Zulfaqar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fattah Salahuddin (kiri) dan Fattah Zulfadli (kanan) manakala Fattah Zulfaqar kembar ketiga masih dirawat di hospital.
Fattah Salahuddin (kiri) dan Fattah Zulfadli (kanan) manakala Fattah Zulfaqar kembar ketiga masih dirawat di hospital.

Jelasnya, dia sekeluarga hilang punca pendapatan selepas suaminya yang merupakan chef di sebuah hotel di Johor Bahru tidak lagi bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) dilaksanakan sejak Mac lalu.

"Sebelum ini saya menjual burger di gerai di tepi jalan. Sekarang sudah tidak menjual kerana perlu menjaga bayi dan berulang- alik ke HSA," katanya.

Zahariah berkata, kesukaran yang dihadapi tidak sedikit membuatkan beliau dan suami berputus asa menjaga bayi kembar mereka walaupun ada beberapa orang yang menawarkan diri mahu mengambil sebagai anak angkat.

"Ini merupakan perkahwinan kali kedua antara saya dan suami. Saya janda yang mempunyai dua orang anak berusia 12 dan 10 tahun manakala suami duda yang ada empat orang anak.

"Dua tahun lalu, saya dan suami (Zulkifli) bertemu jodoh dan mendirikan rumah tangga. Tak sangka rezeki kami mendapat bayi kembar tiga lebih- lebih lagi pada usia saya 40 tahun," katanya.

Lampin pakai buang yang disumbang orang ramai kepada bayi kembar tiga di Penerok Pontian.
Lampin pakai buang yang disumbang orang ramai kepada bayi kembar tiga di Penerok Pontian.

Zahariah memberitahu dia dimasukkan ke HSA pada 28 Febuari lalu untuk pemantauan kerana mempunyai penyakit kencing manis.

Katanya, dia selamat melahirkan bayi lelaki kembar tiga melalui pembedahan pada 2 April kira- kira jam 1.59 tengah hari.

"Syukur bayi selamat walaupun yang ketiga iaitu Zulfaqar dilahirkan hanya seberat 900 gram," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!