Pembangkang main peranan semak dan imbang

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) bertekad untuk memainkan peranan semak imbang demi memastikan dasar-dasar seperti Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB), pelan anti-rasuah, pembangunan prasarana kritikal terutama di Sabah dan Sarawak, isu kemiskinan dan jurang ekonomi di antara wilayah diusahakan sebaik mungkin oleh kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu ditegaskan dalam satu kenyataan bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal dan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau, hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan bagi memberi respon terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pagi tadi.

"Kami (ahli-ahli Parlimen PH) menyanjung tinggi titah Tuanku yang khuatir dengan budaya rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa kerana ia mampu merencat pembangunan serta merosak imej negara di peringkat antarabangsa.

"Sepertimana kes yang membabitkan Riza Aziz di mana keputusan untuk membebaskannya akan memperlihatkan bahawa kita tidak serius menangani gejala tersebut.

"Kes ini telah menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.

"Kami juga berharap isu Covid-19 terutamanya berkaitan dengan pakej rangsangan dapat diberi tumpuan khusus di mana banyak laporan berlakunya ketirisan dan ini menyebabkan bantuan ini tidak sampai kepada golongan sasar," katanya.

Artikel Berkaitan:

DAP
DAP

Kenyataan itu turut menggesa supaya satu perbahasan segera perlu dilakukan bagi membahaskan pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan Perikatan Nasional susulan terdapat dakwaan berlakunya ketirisan.

"Perkara ini amat merisaukan kerana ia membabitkan golongan yang amat memerlukan bantuan pada ketika ini dan kami merasakan ianya perlu dibahaskan seberapa segera," katanya.

Dalam pada itu, parti gabungan PH itu turut menerima baik titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa perbezaan pendapat tidak harus diakhiri dengan caci mencaci, serta keperluan menangani isu polarisasi kaum.

"Akhir sekali, ahli-ahli Parlimen dari Pakatan Harapan, Bersatu, Warisan dan UPKO juga turut bersama menyatakan penghargaan yang tidak terhingga buat semua petugas barisan hadapan yang telah mencurahkan bakti demi mempertahan rakyat dan negara dari wabak Covid-19," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!