Messi setaraf Pele
BINTANG Barcelona, Lionel Messi dinilai setaraf dengan legenda Brazil, Pele berdasarkan bakat dan keupayaan istimewa pemain lincah berusia 32 tahun itu.
Bekas pemain Barcelona, Edmilson berkata, dia juga menilai Messi jauh lebih bagus berbanding legenda Argentina, Diego Maradona.
Menurutnya, bakat istimewa Messi sudah terserlah ketika pemain itu berjaya menembusi skuad utama Barcelona ketika berusia 17 tahun dan mampu bersaing dengan pemain hebat ketika itu seperti Ronaldinho, dan Samuel Eto.
Malah, Edmilson menegaskan Messi bukan hanya mmempunyai bakat luar biasa namun turut memiliki mental yang kuat menjadi kunci utama dia mampu tampil konsisten bersama Barcelona untuk tempoh 16 tahun.
"Ada seorang pemain muda Argentina yang memembusi pasukan utama dan 14 tahun kemudian dia masih bersama Barcelona. Messi mempunyai mental dan kemampuan sangat kuat yang tidak pernah saya lihat sebelum ini.
"Saya menyertai Barcelona dan melihat pemuda berusia 17 tahun (Messi) bermain bersama kami dengan kawalan bola yang luar biasa.
"Anda mungkin memiliki bakat, skil, kepantasan dan naluri mencetak gol, tapi itu semua tidak bererti tanpa mental yang baik seperti Messi. Dia bijak mengawal terutama dari segi populariti yang dikecapinya," katanya.
Messi mengharungi karier luar biasa bersama Barcelona selama hampir 16 musim dengan memenangi 10 kejuaraan La Liga dan empat kejuaraan Liga Juara-Juara.
Messi juga menjadi pemain yang berjaya merangkul anugerah Ballon d'Or terbanyak dengan enam kali sekali gus menyaksikan dia dinobatkan sebagai pemain terbaik di dunia ketika ini.
Mengulas mengenai perbandingan antara Maradona dan Pele, Edmilson menyifatkan Messi lebih mirip dengan Pele kerana mampu tampil konsisten lebih daripada 10 tahun.
"Seorang pemain yang mampu menguruskan hal di dalam dan di luar padang membuatkan mereka berbeza dengan pemain lain. Messi mampu melakukan itu selama lebih dari 10 tahun seperti yang dilakukan Pele.
"Pemain lain seperti Maradona, hanya mampu mencapai prestasi terbaik untuk tempoh tiga hingga empat tahun sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!