Tiga beradik yatim piatu masih trauma
MARANG - Tiga beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Muadzam Shah, Rompin, Pahang pada 3 Oktober tahun lalu, masih lagi trauma dengan kejadian yang menimpa keluarga mereka.
Aryan Rizky, 7; Areesh Razeen, 5, dan Arfan Rakeen, 3, terselamat dalam kemalangan di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Seremban itu manakala ibu bapa mereka, Surawati Mohd, 33, dan Muhammad Noor Idham Ramli, 31, terkorban dalam kejadian menyayat hati itu.
Nenek kepada adik-beradik berkenaan, Zainab Mamat, 61, berkata, kemalangan itu memberikan kesan mendalam, malah mereka masih bercerita tentang kemalangan itu sehingga kini.
"Kalau dengar atau tonton berita tentang kemalangan, mereka akan menyebut 'mummy' dan 'daddy'. Mereka masih ingat bagaimana keadaan masa itu, terutamanya Areesh yang selalu bercerita.
"Sayu bila tengok keadaan mereka tapi saya dapat lihat mereka cuba sesuaikan diri dengan keadaan baharu sekarang. Selalu juga mereka bermimpi terutamanya yang bongsu, Arfan yang asyik menyebut 'mummy'.
"Dia tidak boleh berenggang dengan saya dan masih takut dengan orang lain. Mujurlah selain saya, ibu dan bapa saudara mereka menjadi tempat bermanja, malah empat orang ibu saudara Arfan juga menjadi ibu susuan dia," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gong Merawang di Rhu Muda di sini hari ini.
Sebelum itu, mereka menerima kunjungan Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman dan kakitangan hotel berkenaan yang merupakan majikan bapa mereka sebelum ini.
Menurut Noralizan, pihaknya terpanggil untuk melihat perkembangan ketiga-tiga beradik itu di samping menyampaikan keperluan hari raya.
"Memandangkan hari raya bakal menjelang, kami memberikan sumbangan pakaian dan duit raya, di samping barangan keperluan dapur.
"Sumbangan ini bukan sahaja daripada pihak hotel tetapi rakan-rakan sekerja arwah bapa mereka dan daripada pengunjung hotel.
"Kita memang wujudkan tabung untuk membantu mereka sejak kemalangan itu dan sehingga kini sudah tiga kali sumbangan disampaikan kepada waris, sedikit sebanyak diharap ia membantu meringankan beban waris yang menjaga tiga beradik ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!