PATI lahirkan anak dalam bot pancung

Seorang bayi perempuan selamat dilahirkan di atas bot pancung yang rosak dan tersadai sebelum diselamatkan di tengah laut di timur Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor, Jumaat lalu.
Seorang bayi perempuan selamat dilahirkan di atas bot pancung yang rosak dan tersadai sebelum diselamatkan di tengah laut di timur Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor, Jumaat lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga asing melahirkan anak di tengah laut dalam sebuah bot pancung ketika bersama-sama 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) lain semasa cuba menyusup keluar di timur Tanjung Balau, Kota Tinggi, dekat sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bot membawa kesemua PATI itu sedang menuju ke Batam, Indonesia rosak dan hanyut di perairan tersebut membuatkan mereka terkandas di tengah-tengah laut.

"Disebabkan keadaan itu dan tidak dapat berbuat apa-apa, ibu kepada bayi berkenaan yang berusia dalam lingkungan 30-an ditemani suaminya terpaksa melahirkan anak mereka di atas bot pancung terbabit.

"Sebuah kapal dagang yang melihat bot pancung PATI berkenaan tersadai di tengah laut kemudian memaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum semua warga asing itu diselamatkan.

"Semasa 26 PATI berkenaan ditahan, bayi perempuan itu berusia tiga hari. Mereka semuanya sudah dua hari berada di laut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Katanya, bot pancung berkenaan mengalami kerosakan enjin dan ditunda ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedeli, Kota Tinggi.

Ayob Khan menunjukkan gambar tekong, PATI dan aset yang dirampas dalam tiga serbuan dari 13 hingga 17 Mei pada sidang media di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
Ayob Khan menunjukkan gambar tekong, PATI dan aset yang dirampas dalam tiga serbuan dari 13 hingga 17 Mei pada sidang media di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, pada 13 Mei dan semalam, pihaknya melancarkan dua serbuan di sebuah rumah di daerah ini dan di sebuah hotel di Seri Alam, Pasir Gudang sebelum menahan lima tekong.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua tekong berkenaan berusia 43 hingga 58 tahun berperanan sebagai penjaga selain mengurus dan membawa pengangkutan untuk PATI melibatkan dua lelaki tempatan, dua lelaki Indonesia dan seorang perempuan tempatan.

"Turut ditangkap 10 migran terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita Indonesia berusia 25 hingga 58 tahun.

"Rumah dan hotel berkenaan disewa dalam masa singkat dengan menempatkan PATI pada sebelah siang sebelum membawa mereka keluar pada waktu malam untuk menyusup keluar dari negara ini," katanya.

Sebahagian daripada PATI yang ditahan kerana cuba menyusup keluar di timur Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor, Jumaat lalu.
Sebahagian daripada PATI yang ditahan kerana cuba menyusup keluar di timur Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor, Jumaat lalu.

Menerusi tiga siri serbuan itu, beliau berkata, seramai lapan tekong dan 33 PATI ditangkap selain turut merampas sebuah bot pancung, sebuah enjin jenama Yamaha 200 kuasa kuda, sebuah kereta Proton Pesona dan 53 telefon bimbit.

Menurutnya, kesemua tangkapan akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!