Covid-19: Pesakit sembuh akan dikuarantin 14 hari di rumah
PUTRAJAYA - Pesakit wabak koronavirus (Covid-19) yang telah sembuh dan didiscaj dari wad masih perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh itu, bekas pesakit tidak dibenarkan menerima pelawat dan bergaul dengan ahli keluarga mereka.
"Selepas 14 hari kuarantin di rumah barulah mereka boleh jumpa pelawat dan bergaul dengan ahli keluarga tetapi kena patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) iaitu penjarakkan sosial menggunakan topeng muka, kerap membasuh tangan dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pesakit yang telah sembuh boleh menerima tetamu khususnya menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.
Menurut Dr Noor Noor Hisham, pelaksanaan itu dibuat bagi memastikan bekas pesakit tidak dijangkiti semula wabak itu atau menjangkiti orang lain.
"Kalau mereka positif pun kita akan masukkan ke hospital dan kita tidak akan discaj sehingga ujian itu menunjukkan dia negatif dan apabila negatif barulah kita discaj tetapi kena kuarantin untuk tempoh 14 hari di rumah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!