Penduduk rimas bau busuk sampah
KUANTAN - Masalah sampah yang dibuang secara haram di laluan sunyi di Kampung Bukit Setongkol di sini menyebabkan penduduk sekitar kawasan itu terseksa dengan bau busuk.
Suri rumah, Tan Chin Khoon, 44, berkata, masalah pembuangan haram di perumahan terbabit berlarutan sejak tiga tahun lalu.
Menurutnya, sampah yang dibuang terdiri daripada sisa buangan pepejal dan bahan pukal, termasuk sofa.
“Saya dah banyak kali buat aduan pada Alam Flora dan bila dia orang (pekerja Alam Flora) datang buat kerja pembersihan keesokannya sampah ada semula.
“Isu ini tak pernah selesai, malah sekarang makin menjadi-jadi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Ibu kepada dua anak ini berharap pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Isu pembuangan dan longgokan sampah secara haram ini adalah besar bagi kami, kerana kesannya hingga kami terpaksa menghidu udara tercemar.
“Aduan sudah dibuat kepada pihak berkaitan, selain memaklumkan kepada wakil rakyat, bagi membolehkan masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya.
Kerap bersihkan kawasan
Wakil Alam Flora, Khairul Azman Sapwari berkata, pihak sudah beberapa kali bersihkan kawasan berkenaan walaupun bukan di bawah selenggaraan Alam Flora.
“Sampah yang dibuang ini adalah sampah haram, jika ada aduan kami akan bersihkan juga sebagai salah satu daripada CSR pihak Alam Flora,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Penguatkuasa SWCorp ,Norul Naqib Che Mat berkata, pihaknya sedang mengesan pihak bertanggungjawab membuang sampah di situ.
"Setakat ini individu dan beberapa pihak sudahpun kami kenalpasti dan notis akan dikeluarkan.
“Jika terus ingkar, mereka bakal berdepan dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) denga minimun denda RM10,000,” katanya.
Selain itu, pemantauan daripada pihak SWcop akan dijalankan dari masa ke semasa untuk banteras pembuangan sampah haram ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!