Jangan kunjung-mengunjung, ziarah kubur tahun ini!
PUTRAJAYA - Orang ramai diingatkan tidak mengunjungi dan menziarahi tanah perkuburan pada Hari Raya Aidilfitri kali ini bagi memastikan usaha untuk memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19) tercapai.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, masyarakat perlu bersedia melakukan perkara di luar kelaziman.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bukan mengeluarkan dasar tetapi nasihat supaya tidak menziarahi kubur tahun ini.
"Hanya (untuk) tahun ini sahaja. Jadi kalau kita boleh patuh nasihat KKM, kita boleh putuskan jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat kerana wabak ini masih ada dalam komuniti.
"Jadi kalau kita terdedah (jangkitan Covid-19) kita mungkin 'membawa balik' virus tersebut ke rumah dan kita (akan) menjangkiti mereka yang berisiko tinggi," pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KKM bercadang mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) tambahan menjelang Aidilfitri nanti bagi mengekang penularan wabak tersebut.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, rakyat Malaysia perlu bersedia mengamalkan normal baharu termasuklah dengan berkurung di rumah pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Katanya, ketika ini cara berkesan untuk memutuskan rantaian wabak tersebut adalah dengan berada di rumah dan mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!