Berpantang maut sebelum ajal
PAGOH - Seorang lelaki melecur 30 peratus badannya ketika cuba memadamkan kebakaran di rumahnya di Jalan Abdullah, Kampung Panchor di sini, pagi semalam.
Ketua Balai Bomba Pagoh, Penolong Penguasa Bomba Norashid Mamat berkata, lelaki berusia 48 tahun itu dilaporkan cedera selepas api yang dipercayai bermula daripada tingkat atas kediaman menyambar mangsa.
Bagaimanapun katanya, mangsa yang merupakan cucu kepada pemilik rumah itu tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Terdahulu, dalam kejadian jam 9.21 pagi itu, Norashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran melibatkan kediaman dua tingkat itu.
“Sebaik pasukan penyelamat tiba pada jam 9.29 pagi, api mulai marak di kediaman berstruktur separuh kekal ini yang mana dinding bawah dibina daripada batu-bata dan bahagian atas pula daripada papan.
“Penghuni mendakwa, kebakaran bermula dari bahagian atas apabila ternampak asap sebelum salah seorang daripada mereka naik untuk memadamkan kebakaran. Namun ketika api mula menyambar, penduduk setempat bertindak pantas menghubungi bomba,” katanya.
Menurut Norashid, empat lagi penghuni bagaimanapun tidak mengalami kecederaan apabila terlebih dahulu keluar menyelamatkan diri.
“Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke kediaman bersebelahan. Operasi pemadaman tamat sekitar jam 11.49 pagi dan kebakaran melibatkan 80 peratus terbakar.
“Terdahulu, seramai 17 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian, manakala tiga buah jentera digunakan untuk memadamkan kebakaran dengan satu dari Balai Bomba Pagoh dan dua lagi jentera bantuan dari Balai Bomba Bukit Gambir,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!