Ramadan ketika PKP peluang asah bakat masak

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SIAPA sangka, hampir setengah tahun tahun 2020, kita diperintahkan untuk berada di rumah susulan dunia dilanda wabak Covid-19 yang mengorbankan beratus-ratus ribu penduduk dunia.

Namun, jangan kita memandang takdir yang berlaku ini dari sudut negatif. Benar, wabak Covid-19 yang melanda ini meresahkan seluruh negara.

Tapi dari sudut positifnya, ahli keluarga boleh duduk bersama, meluangkan masa yang selama ini ‘terabai’ dek kesibukan bekerja.

Lebih menarik, masyarakat kita dilihat menunjukkan bakat memasak masing-masing berikutan bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ketika bulan puasa tahun ini.

Di laman Facebook dan Instagram, kita boleh lihat ramai yang memuat naik pelbagai hasil masakan, meriah sungguh.

Ada yang menyelerakan, tidak kurang juga yang tidak jadi sehingga terciptanya page Masak Apa Tak Jadi Official yang kini mempunyai 1.8 juta ahli.

Lebih menarik, page tersebut turut menarik perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebutnya dalam salah satu perutusan beliau.

Dengan nada bergurau, beliau menyebut, PKP perlu dihat secara positif. Mungkin inilah peluang yang ALLAH berikan kepada kita untuk mengamalkan sebenar-benar ibadah puasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata: “Kita berbuka puasa dan bersahur sekadarnya. Makan masakan isteri kita dan tidak membazir. Kalau masakan tak jadi pun tak apa. Boleh post dalam grup Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni”.

Page tersebut menjadi fenomena sehingga ia menarik minat media luar yang menulis mengenainya. Memang lucu, kek menjadi batu, macaron yang sepatutnya berbentuk bulat bertukar seperti kepingan daging, kuih pau hangit dan sebagainya.

Tidak kurang juga alatan masakan yang rosak antaranya kuali yang retak, batu lesung pecah selain siput sedut ‘hilang’ sebelum sempat dimasak.Pendapatan

Bagaimanapun, bagi individu yang mempunyai bakat memasak, musim PKP ini memberi peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan dengan menjual masakan mereka secara atas talian.

Sekurang-kurangnya bakat mereka itu boleh memberi pendapatan sampingan memandangkan ramai yang terkesan dengan PKP apabila peniaga kecil perlu menghentikan operasi, syarikat mula membuang pekerja, gaji dipotong dan sebagainya.

Seperti di Pulau Pinang, 3,207 penjaja bazar Ramadan berdaftar di kawasan Seberang Perai telah menjalankan perniagaan mereka secara atas talian iaitu e-Bazaar Ramadan.

Dalam portal itu, semua laman web, laman Facebook dan kumpulan WhatsApp penjaja bazar Ramadan di kawasan Seberang Perai akan dimasukkan.

Konsep portal ini adalah e-katalog yang mana pembeli boleh menghubungi peniaga melalui laman web, halaman Facebook dan WhatsApp untuk urusan pembelian.

Sementara itu, bagi pembeli di kawasan pulau pula, mereka boleh memesan secara pre-order juadah kegemaran mereka di Jom Beli Online@MBPP untuk dihantar sepanjang Ramadan ini.

Makanan yang dipesan akan dihantar ke rumah mereka bermula 24 April lalu sehingga berakhirnya Ramadan.

Setakat ini, lebih 112 penjaja di bawah Kompleks Makanan Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah berdaftar di Jom Beli Online@MBPP.

Selain itu, tidak kurang juga banyak kumpulan WhatsApp yang dibuat untuk peniaga menjual pelbagai juadah berbuka puasa.

Ia satu perkembangan positif untuk mereka mencari wang lebih untuk persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri walaupun ia akan disambut secara PKPB.

Kesimpulannya, walaupun kita merasakan PKP atau PKPB ini satu penyeksaan, tidak boleh ke sana ke sini, namun ada juga kebaikannya.

Oleh yang demikian, ambillah masa ketika perintah kawalan ini sebagai sesuatu yang positif. Ia mungkin menjadi saat yang pasti akan dirindui semua.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!