Rambut menteri tetap pendek selepas dua bulan PKP
SEJAK kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hampir semua kedai sudah dibenarkan menjalankan perniagaan.
Namun, masih terdapat beberapa bisnes yang dilarang buka kedai. Salah satunya ialah kedai gunting.
Lalu timbullah rasa tidak puas hati dalam kalangan pengusaha kedai gunting. Mereka kemudian merayu kepada kerajaan agar bisnes gunting rambut dibuka segera.
Kata mereka, kalau kerajaan memberikan mereka berniaga, menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk diikuti, mereka sedia untuk beroperasi semula setelah dua bulan kehilangan sumber rezeki.
Memang tidak dinafikan dalam kedai gunting, ia paling mudah terjangkit virus. Maklumlah si tukang gunting kena dekati pelanggan. Kalau nak cuci rambut, berlaku pula body contact.
Ternyata perkhidmatan gunting rambut cukup penting di negara kita, samalah seperti kedai pajak gadai yang diserbu ramai orang sebaik sahaja PKPB dikuatkuasakan.
Menteri pun sudah kata, semua urusan gunting rambut tidak dibolehkan, sama ada di rumah, pejabat atau ke kedai gunting. Tetapi yang peliknya, kalau rambut rakyat tidak dibenarkan gunting, kenapa rambut menteri nampak kemas dan pendek.
Apakah keistimewaan rambut menteri boleh kekal pendek walaupun selepas dua bulan? Potong sendiri? Tentu tiada seorang pun akan percaya!
Sebenarnya arahan kerajaan sekadar arahan. Rasanya ramai yang tidak akur.
Seperti yang didakwa oleh Presiden Persatuan Barber SeMalaysia, TN Winda Mohd Tahir, ada seorang ahli persatuannya ditawarkan RM1,000 daripada seorang menteri untuk pergi ke kediamannya semata-mata untuk potong rambutnya.
Larangan terhadap kedai gunting ketika PKPB ini walaupun bertujuan baik, tetapi ia menunjukkan ketidaktelusan dan kegagalan kerajaan menanganinya secara berkesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!