Orang Asli dah tak masuk hutan...

No Image Caption
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Penempatan semula perkampungan Orang Asli di Kampung Sungai Ruil di sini sejak tiga tahun lalu membuka lembaran baharu buat kehidupan masyarakatnya.

Kedudukan lebih hampir dengan kawasan pentadbiran di Tanah Rata turut menyumbang kepada perubahan kehidupan mereka.

Jika di tempat lain masih ada kaum asal ini yang masuk ke hutan demi sesuap nasi dan demi kelangsungan hidup, berbeza dengan penduduk etnik Semai ini.

Hari ini, masyarakat di Kampung Sungai Ruil sudah tiada beza dengan kaum lain di negara ini.

Menurut salah seorang penduduk kampung, Bahau Bahgeran, 62, daripada rumah berasaskan kayu kemudiannya papan, kini mereka tinggal selesa dalam rumah batu dengan persekitaran yang serba mencukupi.

"Aktiviti ekonomi kami di sini ada yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan, swasta, hotel dan resort.

"Sudah tidak ada yang mencari rezeki di hutan, cari kayu semua sudah tidak ada," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kampung Orang Asli yang kelihatan moden itu susulan tragedi tanah runtuh yang berlaku pada tahun 2011.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Kerajaan ketika itu kemudiannya membina perumahan tersebut lengkap dengan fasiliti seperti dewan serbaguna, surau, tadika, wakaf, tandas awam, rumah sampah, rumah pam dan tangki air.

Mengimbau kenangan puluhan tahun lalu, Bahau yang juga pesara kerajaan berkata, kawasan tersebut dipilih kerana hampir dengan sumber air, Sungai Ruil.

"Perkampungan asal kami di Brinchang dan orang tua-tua dulu suruh cari tempat jadi kami jumpa punca air di Sungai Ruil di sini.

"Jadi tahun 1963 kami mula teroka kawasan ini dengan rumah kayu bermula dengan 32 buah keluarga sahaja," katanya.

Menceritakan kembali tragedi yang mengorbankan tujuh nyawa, Bahau memberitahu kejadian berlaku di kawasan rumahnya.

"Tanah dari atas bukit runtuh ke bawah dah tutup (timbus) rumah kami. Di kawasan itu ada enam buah rumah rosak teruk.

"Kebetulan saya keluar bekerja ketika kejadian jadi selepas dimaklumkan saya terus balik," katanya.

Kesemua rumah di kampung tersebut dirobohkan pada tahun 2012 dan mereka ditempatkan di dewan selama tiga tahun sementara menanti rumah baharu siap.

Sebanyak 152 buah rumah jenis berkembar dan rumah komuniti siap dibina Januari 2016.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!