BAM perkasa barisan kejurulatihan

Norza Zakaria
Norza Zakaria
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menstruktur semula barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan dalam persediaan menghadapi final Piala Thomas dan Piala Uber, dan juga Olimpik Tokyo.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, perseorangan lelaki akan menyaksikan Hendrawan dilantik sebagai Ketua Jurulatih manakala Datuk Tey Seu Bock sebagai pembantunya.

Kedua-dua jurulatih berpengalaman itu mempunyai rekod cemerlang dalam membimbing bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, sehingga membawa pulang pingat perak di Sukan Olimpik Rio pada 2016.

Pembantu Hendrawan pada masa ini, Indra Widjaja pula akan diberikan tugas mengetuai kejurulatihan perseorangan wanita bersama Loh Wei Sheng.

Jurulatih beregu lelaki pula akan diketuai bekas juara beregu Indonesia, Flandi Limpele.

Beliau akan dibantu Rosman Razak dan Hoon Thien How.

Bekas pemain beregu utama negara Chan Chong Ming pula akan mengambil alih pasukan beregu wanita dan beliau akan dibantu Chin Ee Hui dan Wong Pei Tty.

Dalam usaha untuk meningkatkan lagi prestasi beregu campuran, Paulus Firman akan diberikan tugas memperbaikinya dengan dibantu Teo Kok Siang.

Artikel Berkaitan:

“Adalah menjadi harapan saya agar pembaharuan ini akan terus meningkatkan lagi pasukan kebangsaan dan memberikan motivasi kepada pemain untuk mengunakan sepenuhnya tempoh masa yang lebih panjang, untuk persediaan final Piala Thomas dan Piala Uber yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark dari 3-11 Okt dan Olimpik Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

“Kami di BAM akan terus mencari cara untuk meningkatkan barisan kejurulatihan dalam usaha membantu skuad negara yang agak muda, menyerlahkan potensi penuh mereka dan akhirnya membuat negara bangga,” kata Norza. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!