Selamatkan Bola Sepak Kelantan sampai di Jerman
KEMPEN kutipan derma Selamatkan Bola Sepak Kelantan mendapat suntikan baharu apabila seorang anak jati Kelantan yang kini bermastautin di Jerman, mengambil inisiatif sama apabila melakukan pendekatan sama dalam kalangan anak Kelantan di negara berkenaan.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Hussin Deraman berkata, kutipan berkenaan diusahakan oleh Arena Mikulasek, 60 tahun yang telah menetap di Baden-Wurttemberg, Jerman sejak 20 tahun lalu setelah berkahwin dengan rakyat negara benua Eropah berkenaan.
Menurut Hussin, Arena yang berasal dari Kota Bharu itu juga bertugas di salah sebuah universiti tempatan di negara berkenaan sebelum ini.
“Hari ini (semalam), kita dihubungi oleh seorang anak Kelantan, Arena Mikulasek yang kini menetap di Jerman bersama keluarganya.
“Dia telah memaklumkan kepada kita mengenai usahanya untuk membantu mengadakan kutipan derma dari sana (Jerman) bagi membantu meringankan beban dihadapi oleh KAFA. Alhamdulillah, kita ucapkan terima kasih kepada beliau yang prihatin nasib yang menimpa KAFA,” katanya.
Untuk rekod, KAFA mengadakan kutipan berkenaan setelah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan badan induk bola sepak Kelantan itu untuk melunaskan pembayaran tunggakan gaji bekas pemain importnya Cassio Francisco De Jesus yang berjumlah RM629,620.28 dalam tempoh 30 hari bermula 23 April lalu.
Sementara itu, Hussin berkata, setakat 12 tengah hari semalam, KAFA telah berjaya mengumpulkan RM12,400 bagi kutipan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!