KPWKM buka peluang OKU urus Kafe Selera Jemari

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membuka peluang pekerjaan kepada komuniti orang kurang upaya dan pekak dalam menguruskan Kafe Selera Jemari yang terletak di Aras 2, bangunan kementerian di sini.

Koordinator kafe itu, Amir Adam Malik berkata kafe yang telah memulakan operasi Ogos tahun lalu, itu mempunyai lapan pekerja OKU yang seorang daripadanya cacat anggota badan manakala selebihnya adalah pekak.

Bercakap kepada pemberita baru-baru ini, beliau berkata kesemua mereka, yang berumur antara 18 dan 26 tahun, telah diberikan latihan mengikuti kursus penyediaan makanan termasuk pembelian barang mentah, logistik makanan serta proses berkaitan makanan dan minuman (F&B).

"Kalau penyediaan makanan dan proses memasak disediakan di Central Kitchen di Puchong, manakala masakan lain seperti makanan barat dan snek minum petang disediakan di Kafe Selera Jemari. Kami mahu golongan ini menimba pengalaman dan mempunyai keyakinan diri agar mereka dapat berdikari di tempat lain atau bila membuka kafe sendiri," katanya.

Kafe Selera Jemari yang beroperasi dari 7 pagi hingga 4 petang, Isnin hingga Jumaat menyediakan pelbagai juadah masakan tempatan dan antara juadah yang popular adalah masakan Melayu, mee kari Kapitan, soto, chicken chop, sup tulang dan kari kambing.

Mengenai sambutan, Amir berkata, sambutan agak menggalakkan kerana orang ramai mula mengetahui kewujudan kafe itu dan makanan yang sedap ditawarkan melalui perbualan antara rakan-rakan serta promosi di media sosial Facebook.

Sementara itu, Siti Nursyafiqah Jusoh @ Shaari, 26, yang berasal dari Pasir Mas Kelantan dan mengalami masalah pendengaran di sebelah kanan berkata beliau yang bekerja sebagai juruwang kafe itu, turut terlibat dalam melatih dan memberi tunjuk ajar kepada para pekerja.

"Pada mulanya, ia agak susah sikit, tetapi selepas mengajar mereka cara mengendalikan bahagian dapur, cara masak nasi, membuat roti. Di tempat membancuh air, kesemua mereka adalah pekak. Saya cakap kat pekerja kalau orang ramai tidak faham, mereka boleh tunjuk senarai minuman atau menggunakan bahasa isyarat yang mudah.

Artikel Berkaitan:

"Lagipun, kita menyediakan tanda bahasa isyarat di setiap gerai bagi memudahkan pelanggan berinteraksi. Sekarang, kita tengok pelanggan pun mahu menggunakan bahasa isyarat untuk berinteraksi," katanya, yang menambah beliau mempunyai cita-cita untuk membuka kedai makanan sendiri pada masa hadapan.

Katanya, Kafe Selera Jemari menerima kira-kira 200 pelanggan setiap hari dan sedia menerima tempahan.

Walaupun mempunyai masalah pendengaran, Kamarulzzam Ismail, 22, yang berasal dari Kedah berkata beliau berasa seronok membancuh air kerana ada kawan-kawan dan tidak mempunyai sebarang masalah kerana telah mendapat latihan secukupnya sebelum bekerja di kafe ini.

Beliau mempunyai sijil kursus makanan dari Kolej Komuniti Selayang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!