Pelampau Yahudi didakwa bunuh keluarga Palestin
TEL AVIV - Sebuah mahkamah daerah Israel hari ini mensabitkan seorang pelampau Yahudi atas tuduhan membunuh seorang bayi Palestin dan ibu bapanya selepas tertuduh sengaja mencetuskan kebakaran di bawah kes yang telah meningkatkan ketegangan di wilayah itu.
Amiram Ben-Uliel didakwa melemparkan bom api ke kediaman mangsa di Tebing Barat sewaktu keluarga tersebut sedang nyenyak tidur ketika kejadian pada Julai 2015 hingga meragut nyawa Ali Dawabsheh, 18 bulan; ibunya, Riham dan bapanya, Saad manakala abangnya, Ali berusia 4 tahun terselamat.
"Perbicaraan ini tidak akan membawa pulang keluarga saya tetapi saya tidak mahu keluarga lain berdepan trauma yang saya alami," kata datuk mangsa, Hussein Dawabsheh di luar Mahkamah Daerah Pusat Lod.
Ketika kejadian itu, Israel dikatakan sedang berdepan dengan siri serangan dilancarkan pelampau Yahudi.
Kes di perkampungan Duma di Tebing Barat itu bagaimanapun mendapat perhatian banyak pihak malah Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu juga berikrar toleransi sifar untuk mengheret pesalah ke muka pengadilan.
"Serangan ini berunsur perkauman. Mahkamah memutuskan ia sebagai serangan pengganas dan ia menghantar mesej penting bahawa keganasan tetap dianggap keganasan serta identiti pelaku tidak ada kena mengena," tegas Pendakwa Raya, Yael Atzmon. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!