Kediaman sempit tambah stres penghuni flat

Flat PKNS dan Flat Seri Serdang. Gambar kecil: Dr Mohd Zairul Mohd Noor
Flat PKNS dan Flat Seri Serdang. Gambar kecil: Dr Mohd Zairul Mohd Noor
A
A
A

BEBERAPA hari yang lalu saya terlihat cadangan dari sebuah stesen televisyen swasta utama di negara ini, agar ruang di dalam rumah digunakan bagi melakukan aktiviti memenuhi masa ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di antara cadangan yang diberikan adalah menggunakan ruang tamu, ruang istirahat dan ruang taman bagi aktiviti seperti senaman ringkas serta menjalankan kerja-kerja rumah.

Namun, di saat sebahagian kita duduk di rumah yang selesa, tetapi ada penghuni ibu kota yang tidak selesa dengan ruang kediamannya. Mereka tidak mempunyai ruang berasingan untuk makan, tidur atau bekerja, dan perlu bersesak tidur di dalam bilik yang hanya berkeluasan 8 kaki persegi.

Tiada ruang bagi si anak untuk mengulangkaji pelajaran, flat yang diduduki juga menjadi terlalu bising dek semua penghuni berada di dalam rumah.

Jika sebelum ini, boleh ke lobi tangga dan ke taman bawah bagi mengurangkan stres di dalam rumah, kini tidak dibenarkan. Lepak di koridor, juga tidak boleh ketika PKP.

PKP tidak mungkin sama bagi semua orang. Apakah Arkitek di negara ini gagal merekabentuk kediaman yang selesa bagi semua peringkat sosio budaya?

Apakah kita masih alpa tentang bagaimana merekabentuk kediaman yang dapat menjadikan penghuninya boleh berinteraksi dan membentuk tanggungjawab sosial sesama penghuninya?

Atau hanya kerana mereka tidak mampu, mereka tidak layak untuk menikmati kehidupan yang selesa?

Artikel Berkaitan:

Peranan arkitek seharusnya memikirkan akibat jangka panjang serta jangka pendek daripada rekabentuk ruang yang tidak kondusif bagi penghuni kota ini. Pelbagai masalah sosial, seperti insiden penderaan rumah tangga boleh terjadi terutamanya ketika PKP, kesan daripada rekabentuk yang tidak menitikberatkan aspek sosio budaya masyarakat ibu kota.

Flat PKNS Jalan Tun Razak.
Flat PKNS Jalan Tun Razak.

Arkitek harus memikirkan aspek sosio budaya serta demografi masyarakat setempat dan tidak hanya menurut kehendak pemaju yang hanya mementingkan keuntungan semata.

Kepada pihak berwajib, rekabentuk rumah kos rendah di masa hadapan haruslah menitikberatkan aspek kemanusiaan, sosial di kalangan penduduk, pembangunan yang berasaskan manusiawi, menggalakkan sifat hormat sesama individu serta ruang yang mencukupi bagi pembangunan anak-anak penghuni.

Kepada pihak pemaju, usahlah memikirkan keuntungan semata. Kehidupan anak-anak flat juga amat berharga bagi masa depan negara. Mereka juga ada cita-cita dan tidak harus disisihkan dari arus perdana.

Rekabentuk bangunan mempunyai pertalian langsung dengan kehidupan manusia serta sikap manusia di dalam ruang berkenaan. Menurut kajian dari Walid (2012) ruang sesuatu tempat boleh mempengaruhi perilaku penggunanya.

Ini juga berkaitan dengan fizikal dan psikologi pengguna ruang tersebut. Namun persoalannya berapa ramai arkitek yang menjadikan psikologi sebagai asas merekabentuk sesuatu ruang? Psikologi alam sekitar adalah bidang yang sangat kritikal yang perlu dititikberatkan oleh arkitek ketika merekabentuk sesuatu ruang.

Walaupun perkara ini sering diperkatakan, namun kesedaran di kalangan arkitek masih rendah di dalam menjadikan psikologi alam sekitar sebagai perkara utama di dalam proses rekabentuk sesuatu ruang.

Arkitek harus menitikberatkan elemen seperti hubungan manusia dengan alam sekitar bagi memastikan penghuninya bukan hanya tinggal tetapi boleh menjadi manusia yang dapat menghargai hubungan sesama komuniti serta dengan pencipta dan alam sekitar.

Arkitek harus bertindak balas terhadap keperluan manusia dan membuat andaian bagaimana manusia akan bertindak balas terhadap ruang yang mereka cipta. Mereka harus memahami kepelbagaian stimuli manusia dan sensitif terhadap persekitaran.

Menurut Milicent Gappell (2001), terdapat pelbagai eksperimen menujukkan bagaimana minda, otak dan sistem manusia dapat bertindak balas terhadap unsur negatif dan alam sekitar.

Ruang yang positif juga harus menjadikan penghuninya kreatif berinspirasi, menjadikan mereka boleh berfikir dengan tenang dan rasional, bertindak waras dan tidak menjadikan tekanan sebagai alasan bagi menidakkan hak orang lain.

Arkitek harus mengambil iktibar dari pengajaran hari ini agar dapat menghasilkan kehidupan yang lebih kondusif terhadap semua lapisan masyarakat bukan hanya untuk golongan tertentu. Senibina adalah untuk masyarakat bukan untuk yang kaya sahaja.

Ts Dr Mohd Zairul Mohd Noor ialah Pensyarah Jabatan Senibina, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!