Mungkinkah 1 Syawal disambut pada 24 Mei 2020?

Pada tahun ini, tarikh melihat anak bulan Syawal akan diadakan pada petang Jumaat, 22 Mei bersamaan 29 Ramadan 1441 Hijrah di 15 lokasi terpilih di seluruh negara. - Foto fail Bernama
Pada tahun ini, tarikh melihat anak bulan Syawal akan diadakan pada petang Jumaat, 22 Mei bersamaan 29 Ramadan 1441 Hijrah di 15 lokasi terpilih di seluruh negara. - Foto fail Bernama
A
A
A

KENAMPAKAN anak bulan adalah asas bagi menentukan permulaan bulan baharu dalam sistem kalendar Hijrah. Ianya mengikut kitaran bulan mengelilingi matahari bermula Muharram sehingga Zulhijjah selama 12 bulan atau tempoh setahun.

Cerapan anak bulan menjadi penting semasa penentuan permulaan puasa, hari raya dan hari wukuf di Padang Arafah. Malaysia dan sebahagian negara ASEAN menetapkan permulaan tarikh tersebut dengan menggabungkan kedua-dua kaedah hisab (hitungan) dan rukyah (cerapan).

Gabungan ini bermaksud kedua-dua kaedah ini digunakan sebagai asas penentuan awal bulan yang mana jika ketika merukyah, anak bulan tidak kelihatan disebabkan faktor cuaca atau sebagainya maka penentuan ditetapkan dengan kaedah hisab.

Mengikut hisab pula, anak bulan dikira nampak bila memenuhi kriteria imkanur rukyah iaitu tinggi hilal ketika matahari terbenam sekurang-kurangnya 2° dan jarak lengkung hilal ke matahari sekurang-kurangnya 3° atau umur hilal ketika terbenam sekurang-kurangnya lapan jam selepas ijtimak.

Jika anak bulan tidak memenuhi syarat imkanur rukyah maka keesokan hari digenapkan 30 hari berpuasa

Pada tahun ini, tarikh melihat anak bulan Syawal akan diadakan pada petang Jumaat, 22 Mei bersamaan 29 Ramadan 1441 Hijrah di 15 lokasi terpilih di seluruh negara. Ketika merukyah pada tarikh tersebut, ijtimak bulan Syawal masih belum berlaku dan hanya akan terjadi pada 23 Mei 2020 jam 1.29 pagi.

Pada hari merukyah pada 22 Mei 2020 anak bulan (sebenarnya bulan sabit tua) terbenam (6.55 petang) lebih awal mendahului matahari (7.10 petang) untuk tempoh 15 minit (7.10 petang– 6.55 petang).

Bermakna ketika matahari terbenam, data hisab mendapati mustahil untuk anak bulan dapat dilihat kerana anak bulan telah berada di bawah ufuk. Oleh itu, Ramadan tahun ini dicukupkan 30 hari kerana syarat kriteria imkanur rukyah tidak dipenuhi dan hari raya disambut pada 24 Mei 2020

Artikel Berkaitan:

Untuk membuktikan bahawa 1 Syawal adalah pada 24 Mei 2020, data-data hisab pada 30 Ramadan mendapati pada tarikh 23 Mei (30 Ramadan), matahari terbenam pada 7.11 petang dan bulan terbenam pada 7.44 petang.

Peluang untuk merukyah anak bulan ketika matahari terbenam adalah lebih mudah untuk tempoh 33 minit pada ketinggian hampir 7° dan jarak lengkung anak bulan ke matahari pula menghampiri 8°. Sementara itu umur anak bulan dihitung dari peristiwa ijtimak sehingga bulan terbenam iaitu 18 jam 15 minit (7.44 petang - 1.29 pagi).

Kesemua data ini telah melebihi syarat imkanur rukyah dan berkemungkinan besar jika cuaca baik, anak bulan boleh juga dilihat dengan mata kasar.

Keputusan muktamad penetapan hari raya akan ditentukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja setelah selesai kerja-kerja merukyah di semua tempat di Malaysia kerana tujuan merukyah anak bulan adalah untuk mengesahkan sama ada anak bulan dapat dilihat atau sebaliknya.

Justeru menurut hisab, anak bulan tidak memenuhi kriteria rukyah dan 1 Syawal 1441 adalah pada 24 Mei 2020.

Persoalannya, adakah benar 24 Mei ini kita bakal menyambut 1 Syawal? Wallahu a’lam... sama-sama kita tunggu.



Oleh: Prof. Madya Sr. Ts. Dr. Mustaffa Bin Anjang Ahmad

Pusat Geomatik Gunaan Untuk Pencegahan Bencana, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, UTHM

Prof. Madya Ts. Masiri Kaamin

Pusat Pengajian Diploma, UTHM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!