308 kenderaan cuba masuki Pulau Pinang diarah berpatah balik

Sahabudin bertanya sesuatu kepada salah seorang pemandu di sekatan jalan raya di Plaza Tol Jawi di sini hari ini.
Sahabudin bertanya sesuatu kepada salah seorang pemandu di sekatan jalan raya di Plaza Tol Jawi di sini hari ini.
A
A
A

JAWI - Sebanyak 308 pemandu kereta yang cuba memasuki Pulau Pinang dengan alasan untuk balik beraya diarahkan berpatah balik ke negeri masing-masing sejak semalam.

Kebanyakan semua kenderaan tersebut datang dari arah selatan, namun ada juga dari utara.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, selain itu, sembilan kompaun telah dikeluarkan kepada mereka yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, pihaknya memberi amaran kepada semua pihak agar tidak membuat pergerakan merentas negeri tanpa kebenaran polis bagi mengelakkan tindakan tegas diambil.

"Saya ingin mengingatkan kepada semua pihak agar jangan sesekali cuba untuk masuk ke Pulau Pinang tanpa kebenaran dari polis atau alasan yang kukuh. Alasan untuk balik beraya atau alasan tidak munasabah yang lain tidak akan diterima.

"Mereka yang masih berdegil akan mengalami lima kerugian iaitu masa; tenaga; duit petrol, duit tol dan mungkin akan dikompaun RM1,000 selain diarah berpatah balik," katanya kepada media di sekatan jalan raya di Plaza Tol Jawi di sini hari ini.

Tambahnya, sebanyak 18 sekatan jalan raya telah ditubuhkan di semua sempadan memasuki Pulau Pinang.

"Selain Polis Pulau Pinang, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman turut mengadakan satu sekatan jalan raya di Plaza Tol Juru bagi memeriksa kenderaan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini. Kita akan memperketat penguatkuasaan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Saya memohon semua memberi kerjasama dan tidak akan ada yang boleh curi-curi masuk ke Pulau Pinang. Oleh itu, jangan mencuba nasib kerana anda akan mengalami kerugian apabila diarahkan berpatah balik. Pulau Pinang kini menjadi zon hijau, oleh itu kita tidak mahu mereka yang dijangkiti masuk ke negeri ini," katanya.

Sahabudin berkata, sehingga semalam, pihaknya menerima 1,210 permohonan merentas negeri.

"Jumlah keseluruhan permohonan yang diterima adalah 8,386. Kita menubuhkan 142 pasukan khas melibatkan 1,000 anggota dan pegawai di semua sekatan jalan raya bagi memastikan semua orang awam mematuhi PKPB.

"Semua cuti pegawai dan anggota juga dibekukan sepanjang Hari Raya Aidilfitri dan PKPB," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!