ALOR GAJAH - Kehilangan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) sejak dua hari lalu akhirnya terjawab setelah dia ditemukan lemas di Pantai Telok Gong di sini petang semalam. Mangsa, Mohd Zaidi Zainol, 42, yang mengalami masalah mental ditemukan terapung di tepi pantai itu dalam keadaan membengkak. Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kehilangan lelaki itu disedari abangnya yang bekerja sebagai operator kilang selepas pulang ke rumah lebih kurang jam 5 petang Sabtu lalu. Menurutnya, mangsa yang tinggal bersama dua abangnya di rumah pusaka peninggalan ibu bapa mereka di Kampung Telok Gong, sering berjalan kaki hingga ke Pengkalan Balak seorang diri tanpa berbaju, namun akan pulang ke rumah sebelum jam 5 petang. "Bagaimanapun ketika kejadian, mangsa tiada di rumah sebelum abangnya berusia 45 tahun membuat laporan polis pada Ahad lalu. "Ada jiran yang ternampak mangsa kali terakhir jam 5.30 petang Sabtu lalu dengan hanya bertuala sebelum mayatnya ditemui semalam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Katanya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan pasukan polis, Polis Marin (PPM), Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) digerakkan untuk pencarian di bahagian darat dan laut sebelum mayat mangsa ditemui terapung di pantai itu. "Anggota forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka tiba di lokasi kejadian. Pemeriksaan ke atas mayat mangsa tidak menjumpai sebarang unsur jenayah. "Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.