Malaysia komited selesai isu bilateral dengan Singapura

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia komited untuk menyelesaikan isu dua hala dengan Singapura secara aman dan tenang, kata Wisma Putra.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, usaha diplomatik sedang dijalankan untuk mencari penyelesaian yang baik berhubung isu-isu yang menjadi keutamaan kedua-dua negara.

“Walaupun terdapat insiden terbaru yang seolah-olah melemahkan usaha diplomatik, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah telah menerima warkah bernada positif daripada Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, Saifuddin juga bertemu Balakrishnan pada Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di Chiang Mai, Thailand dari 17 hingga 18 Jan 2019.

Menurut kenyataan itu mesyuarat antara Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dengan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong dijadual diadakan pada 28 Januari 2019.

Mesyuarat itu adalah untuk membincangkan dan mencari penyelesaian berhubung isu maritim Malaysia-Singapura serta perkara berkaitan perundangan dan operasi dalam usaha untuk menenangkan keadaan dan menyediakan asas untuk perbincangan dan rundingan lanjut, menurut Wisma Putra.

Menurut kenyataan itu, pada minggu-minggu seterusnya, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook juga akan mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Khaw Boon Wan untuk membincangkan isu berkaitan ruang udara antara kedua-dua negara termasuk Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) dan pelaksanaan prosedur ILS di Lapangan Terbang Seletar, Singapura.

“Usaha berterusan ini menandakan komitmen Malaysia yang jitu untuk meneruskan penyelesaian isu bilateral dengan jiran terdekat Singapura, secara aman dan konstruktif, berdasarkan kesaksamaan dan saling menghormati,” menurut Wisma Putra.

Artikel Berkaitan:

Ini selaras dengan pemahaman yang dicapai antara Menteri Luar Malaysia dan Republik Singapura pada 8 Jan lepas di Singapura. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!