11 beranak dipindahkan dari rumah usang
SUNGAI PETANI - Sebuah keluarga di Kampung Permai di sini terpaksa berhimpit dalam sebuah rumah usang tanpa bilik dan bilik air sejak beberapa tahun lalu.
Mohd Ikbal Abdullah,50, bersama isteri, Siti Aminah Ali Lai, 36, dan sembilan anak berusia antara dua bulan hingga 20 tahun tinggal di kawasan itu lebih 20 tahun lalu dengan serba kekurangan.
Menurut Mohd Ikbal, dia bekerja sebagai penjual ubat-ubatan tradisional dan herba manakala isteri hanya suri rumah tangga.
Hasil tinjauan mendapati keadaan rumah yang terletak di tepi sungai itu dalam keadaan uzur dan tidak selamat untuk diduduki selain lantai sudah berlubang.
Difahamkan, keluarga itu telahpun menerima bantuan dari pelbagai pihak termasuk wakil rakyat tempatan.
Sementara itu, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan kediaman tersebut berada atas tanah rizab sungai dan tidak memenuhi syarat perlaksanaan Bantuan Baikpulih Rumah.
Bagaimanapun, bantuan bulanan telah disumbangkan LZNK sebanyak RM300 sebulan dan keluarga ini juga merupakan klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan.
Kesusahan yang dialami keluarga itu akhirnya mendapat perhatian pendakwah selebriti, Ustaz Ebit Lew yang menziarahi mereka pagi tadi.
Menurut Ebit Lew, pihaknya menawarkan rumah sewa kepada keluarga itu secara percuma kerana bersimpati dengan nasib anak-anak termasuk bayi yang masih kecil.
"Api dan air saya akan bayarkan, pada mulanya mereka berat hati kerana tak sangka dan tak mahu susahkan saya.
"Tapi saya nak juga beri kegembiraan kepada mereka sempena Aidilfitri kali ini," katanya.
Keluarga itu telah dipindahkan ke perumahan dua tingkat tidak jauh dari perkampungan mereka.
Ebit Lew juga menyediakan kelengkapan rumah baharu termasuk mesin basuh, katil, tilam, peralatan elektrik dan almari yang baharu dibeli hari ini.
Keluarga terbabit mengucapkan terima kasih atas bantuan yang dihulurkan selain bersyukur kerana ada pihak sudi membantu mereka dalam kesusahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!