Kelantan bimbang perantau balik ikut laluan tikus

Ahmad ketika ditemui media di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Ahmad ketika ditemui media di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan melahirkan kebimbangan dengan perantau yang ‘curi-curi’ balik ke negeri ini menggunakan laluan tikus semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perbuatan tersebut sebenarnya berisiko kerana ahli keluarga mahupun sanak-saudara akan terdedah dengan bahaya jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima terdapat mereka yang merentas negeri dengan cara tidak betul semata-mata mahu balik menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung.

“Mereka menggunakan jalan-jalan tertentu. Cara mana kita pun tidak tahu. Sedar-sedar mereka sudah ada di Kelantan.

“Saya nak nasihatkan, sebab ini berkaitan dengan kepentingan awam. Wabak Covid-19 masih tidak ada vaksin lagi,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Kelantan Bilangan 12 di Kompleks Kota Darulnaim yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Ahmad mengharapkan supaya kumpulan yang masih berada di luar Kelantan kekal tinggal di sana dan tidak sesekali merentas negeri tanpa kebenaran kerana ia adalah langkah terbaik untuk putuskan rantaian penyebaran Covid-19.

Katanya juga, dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri rakyat diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya penjarakan sosial.

Artikel Berkaitan:

“Sebagaimana dilaporkan, sebahagian besar rakyat kita masih tidak mematuhi arahan tersebut. Kita sendiri dapat melihat virus ini masih belum reda lagi, bukan sahaja dalam negara, tetapi di peringkat dunia. Jadi semua kena patuh dengan arahan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kebenaran jumlah jemaah menunaikan solat Aidilfitri dan solat berjemaah di negeri ini, beliau berkata pihaknya masih belum membuat keputusan terbaharu lagi.

“Ketepatan masih sama dengan yang sebelum ini. Kita masih menunggu keputusan dan ketetapan baharu dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!