Cukuplah sampai 10 malam: Polis Kelantan
KOTA BHARU - Masih ramai rakyat di Kelantan yang degil apabila seramai 45 daripada 62 individu ditahan polis kerana melepak lebih masa di kedai makan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kesemua yang ditahan berusia 45 hingga 65 tahun itu didapati melanggar PKPB dengan makan di premis tertentu melepasi jam 10 malam.
Menurutnya, kerajaan negeri telah memberikan kelonggaran dengan membenarkan operasi perniagaan dilanjutkan dari 6.30 petang kepada jam 10 malam, tetapi ada yang mengambil kesempatan.
“Malam tadi kita tangkap lagi 21 orang yang makan di restoran melebihi had masa yang ditetapkan. Sehingga jam 11.30 malam masih makan di kedai dan melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Sebenarnya pengusaha restoran perlu berterima kasih kepada kerajaan yang memberikan kelonggaran, tetapi mereka ini tidak insaf. Sampai 10 malam itu cukuplah. Nak sampai jam 12 tengah malam dengan 1 pagi,” katanya kepada media.
Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Kelantan di pengerusikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hasanuddin juga mengingatkan orang ramai memberikan kerjasama dengan membuat pembelian mengikut tempoh masa sebenar dan SOP yang ditetapkan.
“Kerajaan telah tetapkan hanya untuk pembelian bungkus sahaja, jadi pembeli kena bungkus, bukan makan di kedai, arahan sudah jelas,” katanya.
Dalam masa sama, Hasanuddin juga menasihatkan rakyat negeri ini supaya tidak terus selesa meskipun Kelantan sudah 32 hari berada dalam zon hijau kerana dengan sedikit kelalaian ia boleh membawa padah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!