Audit dahulu kewangan pasukan
PENGURUSAN baharu bagi pasukan bola sepak wajib mengetahui mengenai kedudukan sebenar akaun kewangan pasukan berkenaan sebelum mengambil tanggungjawab diamanahkan.
Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, perkara itu penting dalam usaha untuk mengetahui dengan jelas mengenai situasi kewangan semasa sesebuah pasukan.
Menurutnya, langkah berkenaan secara tidak langsung dapat mengelakkan pengurusan baharu agar tidak tertipu hingga terpaksa menanggung beban hutang yang banyak setelah mengambil alih pengurusan pasukan.
“Sebenarnya inilah kerja seorang tokoh. Pemimpin sebuah pasukan bola sepak. Dari segi permainan, ia akan ditentukan pemain dan jurulatih, tetapi kewangan adalah urusan yang perlu dikendalikan pengurusan.
“Perlu ada audit serta penyata kewangan yang mengikut undang-undang. Ini bukan perkara main-main sebab itu tak boleh buat sewenang-wenangnya.
“Kesemua ini memainkan peranan penting. Jadi perlu jaga kewangan dahulu, sebelum kita boleh bermimpi (mengecap kejayaan) bersama pasukan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sathianathan berkata demikian ketika diminta mengulas isu tunggakan gaji melibatkan pasukan Liga Premier, Kelantan.
Sebelum ini The Red Warriors (TRW) terpalit dengan isu tunggakan gaji pemain tempatan, namun baru-baru ini timbul pula isu tunggakan gaji bekas pemain importnya Cassio Francisco De Jesus yang berjumlah RM629,620.28.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk melunaskan pembayarannya dalam 30 hari bermula 23 April lalu.
Terbaharu badan induk bola sepak Kelantan itu juga dikatakan masih memiliki enam kes lagi yang tersangkut di FIFA.
Tambah Sathianathan, dia turut bersetuju dengan kenyataan daripada dua bekas pemain Kelantan, Hashim Mustapha dan juga Mohd Badhri Mohd Radzi yang mempersoalkan sampai bilakah KAFA akan mengadakan kutipan derma apabila berdepan masalah.
“Kalau dah hutang (banyak) macam ini, sampai bila kita nak cakap soal derma? Untuk jangka pendek ok, tetapi bukan untuk jangka panjang.
“Bagi saya, kalau tak mampu jangan. Kalau nak main bola juga, biarlah buat FC dan bukan FA. Main liga amatur bukan liga profesional.
“Saya tahu ramai usahawan di Kelantan, biarlah mereka ambil alih dan teruskan di Kelantan. Dalam keadaan sekarang, sampai bila nak minta derma? Cukup sayang kerana Kelantan mempunyai sejarah bola sepak yang cukup gemilang,” katanya.Dalam perkembangan sama, Sathianathan yang pernah melatih Kelantan pada musim 2009 hingga 2020 dan membantu TRW itu menjulang Piala Malaysia 2010 berkata, sudah tiba masanya untuk KAFA mula berdikari dan menjana pendapatan sendiri.
Katanya, dalam soal berkenaan, sudah tiba masanya tokoh bola sepak di Kelantan boleh mula memainkan peranan masing-masing dalam usaha membantu KAFA.
“Sekarang ni melalui derma sahaja mungkin tidak akan cukup. Kalau boleh, janganlah sampai digantung oleh FIFA, kena potong mata dan sebagainya.
“Memang saya agak kecewa dengan apa yang berlaku kerana bagi saya Kelantan adalah pasukan yang bagus, dan saya tahu penyokong mereka hidup mati dengan bola, jadi mereka tidak boleh diberikan satu senario seperti sekarang ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!