Bekas pengurus kanan syarikat pembekal simen ditahan SPRM

SPRM
SPRM
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang bekas pengurus besar kanan sebuah syarikat pembekal simen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di pejabat SPRM Selangor di sini hari ini.

Menurut sumber, individu berusia 48 tahun itu ditahan pada jam 4 petang bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau meminta dan menerima wang suapan daripada dua buah syarikat pembekal pengangkutan logistik dan bahan mentah.

“Kita menerima maklumat bahawa antara tahun 2017 hingga 2019, individu berkenaan telah meminta dan menerima wang suapan secara bulanan daripada dua buah syarikat berkenaan untuk membuat simen bagi pembinaan (ready mix concrete).

“Ia dianggarkan berjumlah RM332,000 sebagai balasan meneruskan pemberian kontrak kerja-kerja pembekalan kepada dua syarikat pembekal tersebut, bayaran dipercayai dibuat ke dalam akaun bank milik suspek,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurut sumber, suspek akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Shah Alam esok.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!