Cara kilang Jepun jaga kebajikan pekerja

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

MEMBUKA kedai serbaneka menjual barangan murah kepada pekerja, beri potongan harga, subsidi makanan, elaun makan RM50 sebulan dan menyediakan makanan murah serendah RM1 di kantin pejabat.

Itulah yang saya dapat lihat ketika pertama kali menjejakkan kaki ke kilang elektronik terbesar di Kelantan, Rohm-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd (Rohm-Wako).

Sampai di pintu utama, saya diminta oleh pengawal keselamatan supaya menukar selipar Wedges yang dipakai kepada kasut.

Ohh lupa, Jepun! Disiplin ‘tip-top’. Akur, saya patah balik ke kereta menukar kasut. Nasib baik sebab kerja sebagai wartawan memang menyebabkan saya selalu ada kasut dan kot dalam kereta.

Kilang itu milik syarikat negara Matahari Terbit, jadi tidak hairan dengan budaya disiplin tinggi yang ditunjukkan itu lebih-lebih lagi di tempat kerja.

Saya hadir atas jemputan Majlis Perasmian Kedai Serbaneka RWEM Express yang berlangsung di kilang tersebut pada 30 Disember tahun lalu.

Tentatif menunjukkan mukadimah majlis akan bermula pada jam 12 tengah hari dan perasmian pula berlangsung jam 12.15 tengah hari.

Sempat kalau saya tiba jam 12.10 sekali pun.

Artikel Berkaitan:

Saya sampai pada jam 12.04 tengah hari dan disambut kakitangannya yang memberitahu Presiden Rohm-Wako, Hideki Hashimoto sudah berada dalam dewan bersedia untuk memulakan majlis, hanya menunggu saya. Terkejut!

Cepat-cepat saya masuk ke dewan, Hashimoto dan ahli dewan bangun dan tunduk-tunduk. Saya duduk dan serta-merta majlis pun bermula. Budaya terbaik mereka amat menghormati tetamu. Hmmm, saya malu.

Dalam ucapan perasmian, Hashimoto memberitahu, idea kedai serbaneka itu dicetuskan Jabatan Hal Ehwal Umum syarikat kerana menjadi keutamaan mereka untuk menjaga kebajikan 2,200 pekerja di kilang itu secara optimum.

Ia bersesuaian dengan sambutan ulang tahun Rohm-Wako Kelantan ke-30.

“Kedai ini menyediakan barangan keperluan asas (makanan dan minuman) serta barang runcit yang mendapat permintaan tinggi daripada pekerja termasuklah ubat gigi, sabun dan syampu.

“Harga lebih murah daripada kedai lain dan ada pula potongan sehingga lima peratus untuk telur, makanan sejuk beku, bahan pencuci dan biskut.

“Besar harapan kami agar kedai ini disenangi dan memberi manfaat kepada setiap pekerja,” katanya dalam bahasa Jepun dan dialih bahasa oleh jurubahasa syarikat itu.

Mereka tetap tidak lari daripada budaya menyanjungi bahasa ibunda sendiri walau di mana-mana sekalipun.

Hashimoto meneruskan ucapan dalam bahasa Jepun. Katanya, pembangunan kedai serbaneka itu bertujuan memberi kemudahan kepada setiap pekerja untuk mendapatkan barangan pada harga murah.

Ini adalah salah satu daripada budaya majikan Jepun yang begitu terserlah dalam ‘menghiburkan’ para pekerjanya.

“Menjadi keutamaan kami untuk memastikan pekerja sentiasa berasa senang hati dan sebagai ganti mereka wajib produktif dalam tugas masing-masing,” ujarnya lagi.

Saya dan Hashimoto sependapat iaitu tidak salah menyenangkan pekerja walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu atau merosot kerana tindakan itu tidak akan merugikan syarikat, sebaliknya memberi pulangan kepada pekerja yang lebih komited dan setia.

“Apabila syarikat membantu pekerja menghadapi kos sara hidup yang tinggi, pekerja akan berasa lebih senang hati dan kemudian berbakti pula kepada syarikat lantas mengembangkan semula ekonomi untuk kebaikan bersama,” katanya.

Cara majikan Jepun itu menyantuni para pekerja amat wajar dicontohi mana-mana majikan di seluruh dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!