Raya yang meriah tetapi sunyi

A
A
A

PADA tahun ini, mesyuarat suami isteri yang tidak akan diadakan pada hujung Ramadan ialah mesyuarat penggiliran ke kampung siapakah mereka hendak pulang. Tahun ini, tiada masam-masam muka antara suami isteri kerana mereka tidak boleh balik ke kampung. Malah di pejabat pun, masing-masing tidak perlu kecoh-kecoh hendak rebut hari cuti.

Berbeza dengan tahun-tahun yang lalu, kali ini pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan ditonton dengan hati yang separuh teruja. Si isteri bagi sesebuah keluarga tidak perlu tergopoh-gapah menyediakan pakaian seminggu ke dalam beg suami dan anak-anak. Si suami pula tidak perlu tergopoh-gapah menghantar kereta untuk diservis. Tidak perlu juga menggagau menukar wang ringgit di bank sebagai duit raya.

Begitu juga bagi yang menggunakan kenderaan awam untuk pulang ke kampung; tiada perlu lagi beratur untuk mencari tiket kereta api atau bas. Tiada juga berita syarikat bas mengumumkan bas tambahan untuk balik kampung.

Akhbar pula tiada berita mengenai pemeriksaan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke atas ulat-ulat tiket. Yang hampir pasti, pada tahun ini jumlah kemalangan jalan raya dan kematian akan turun kepada dua angka. Kalau ada pun barangkali kemalangan motosikal terbabas masuk sawah.

Persediaan hari raya pada tahun ini akan dibuat ala kadar sahaja. Mungkin tiada langsir baharu. Yang ada pun mungkin menukar alas meja dan pengesat kaki. Pakaian untuk budak-budak hanya ditempah secara online untuk mengelak bersesak di pasar raya.

Tiba hari raya, persiapan tidak perlu tergesa-gesa. Pakaian raya tak perlu lengkap bersamping dan bersongkok kerana solat raya pun akan dibuat di ruang tamu rumah sahaja. Ayah pun tidak kisah kalau anak isteri lewat bersiap untuk solat berjemaah Aidilfitri kerana dia sendiri sedang terkumat-kamit beraptai menjadi khatib khutbah raya.

Yang akan sama pada tahun ini berbanding dengan tahun-tahun yang lalu adalah budaya bermaaf-maafan. Ia bergantung pula kepada budi bicara ketua keluarga sama ada bermaaf-maafan sekadar meletak tangan ke dada ataupun siap peluk cium dengan linangan air mata. Yang penting, kesyahduan Aidilfitri disambut dengan tangisan menjadi tradisi keluarga.

Ketupat, lemang, rendang dan lodeh itulah makanan yang memberi makna berhari raya. Si isteri akan cuba mempertahankan tradisi ini untuk keseronokan anak-anak. Pakaian keluarga barangkali sedondon meskipun dengan pakaian tahun-tahun lalu. Sambil makan, masing-masing akan menayang juadah dan bergurau senda dengan anggota famili yang lain melalui aplikasi Zoom ataupun Google Meet. Bagaimana nanti agaknya anak-anak merengek meminta duit raya daripada pak cik dan mak cik melalui video. Memang pendapatan duit raya bagi kanak-kanak akan merosot pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Meskipun rancangan hiburan merupakan santapan iringan di televisyen, namun yang akan dinanti-nantikan juga ialah Perutusan Khas Aidilfitri daripada ‘Abah PM kita’ Tan Sri Muhyiddin Yassin. Masing-masing juga akan menanti apakah pakaian yang akan dikenakan oleh Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Sekiranya pakaian batik hariannya sudah happening, tentu baju rayanya lebih wow! Dan yang akan ditonton secara wajib pada hari raya ialah sidang akhbar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Laporannya boleh menentukan mood gembira atau resah kita pada hari raya.

Jauh di desa yang sunyi, emak dan ayah akan lalui hari raya seperti mana hari-hari raya lain. Selepas solat Aidilfitri di rumah, mereka duduk berdua memamah apa yang ada. Tiada riuh hilai tawa anak-anak atau keributan cucu-cucu. Kalau ada pun sedikit gembira mereka hanyalah mendengar suara panggilan anak-anak sahaja kerana mereka tidak pandai untuk login untuk melihat wajah anak cucu melalui Zoom. Ayah pun tak nampak mata emak yang sudah masuk habuk sejak pagi lagi.

Yang pasti, hari raya pada tahun ini akan meninggalkan makna yang mendalam buat kita semua. Penjarakkan sosial akibat Covid-19 benar-benar telah memenjarakan sosial kita.

**Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!