Ke manakah Ramadan Kita?
RAMADAN sudah sampai di penghujungnya. Kita yang beriman wajib bertanya: ke manakah perginya amalan Ramadanku? Jawapannya hanyalah satu daripada dua jawapan ini. Jika ia diredai ALLAH SWT, sudah tentu kita akan diberi ganjaran istimewa bila kita bertemu-Nya nanti dengan keizinan-Nya. Sebaliknya, jika kita gagal menghayati Ramadan menurut pandangan ALLAH SWT yang mencipta Ramadan untuk kebaikan kita, maka sia-sialah kita berlapar dahaga sebulan suntuk.
Untuk menjaga Ramadan dan hayat kita, satu perangai yang wajib kita elakkan ialah berburuk sangka dan intip-mengintip. Untuk menyuburkan kehidupan bermasyarakat pula, kita mestilah menjaga amanah dan profesionalisme kita. Kita fikirkan maksud beberapa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
“Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka; maka bertanyalah kamu kepada Ahluz-Zikri jika kamu tidak mengetahui.” Al-Anbiya’ (Para Nabi) 21:7.
Dalam ayat di atas, Ahluz-Zikri bermakna golongan yang mengingatkan manusia akan arahan Tuhannya. Sebahagian mufasir merujuk juga kepada golongan Ahlul-Kitab yang bertakwa. Mereka ini juga sudah tentu berilmu dan mengingatkan manusia tentang apa yang disiapkan oleh ALLAH SWT terhadap mereka dan apa pula yang diminta oleh ALLAH SWT daripada manusia demi kebaikan manusia sendiri.
Mereka ini yang mengingati dan mematuhi ALLAH SWT adalah golongan yang beramal salih lantaran ilmu mereka. Orang yang tidak mengetahui perlulah bertanya kepada mereka. Ini juga boleh digunakan dalam kehidupan biasa. Bila kita tidak mengetahui sesuatu perkara hendaklah kita bertanya kepada orang yang lebih mengetahui.
“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada ALLAH; sesungguhnya ALLAH Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.” Al-Hujurat (Bilik-bilik) 49:12.
Kita melihat bagaimana manusia hidup dengan sangkaan yang buruk atau baik. Ini termasuk diri kita sendiri. Ayat al-Quran di atas jelas mencegah kita daripada banyak sangkaan kerana sebahagian sangkaan itu berdosa. Ini bermakna sangkaan kita itu salah dan lebih teruk lagi jika kita bertindak di atas sangkaan yang salah; maka ia berdosa.
Namun ada sangkaan yang dibenarkan. Apakah dia? Bila sangkaan itu merupakan kewaspadaan. Dalam hayat ini, kita tidak boleh berbaik sangka dengan semua manusia seratus peratus.
Pelbagai jenis manusia yang wujud dalam masyarakat, daripada yang baik hinggalah yang jahat. Untuk mempunyai sangkaan yang betul memerlukan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan.
Di Malaysia, sistem siasah kita menggalakkan suasana perseteruan atau politik perseteruan (adversarial politics) antara parti-parti politik, khususnya antara dua kelompok parti politik yang beradu domba untuk menguasai Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Sistem siasah begini mendedahkan sifat yang hodoh dalam diri manusia. Kita mengetahui bagaimana manusia itu mempunyai sifat yang hodoh dan sifat yang indah dalam dirinya.
Bagi orang yang bijaksana dan yang berakhlak mulia, sifat yang indah dipamerkan secara tabii kerana ia dapat mengawal sifat liar dan hodohnya hingga tidak terzahir sedikit pun. Sistem siasah ini juga mendorong para politikus berkonflik dan merancang dengan penuh buruk sangka tidak kira bulan Ramadan ataupun bulan-bulan yang lain.
Hanya politikus yang berjiwa mulia dan berakhlak baik yang dapat mengatasi landaan sistem siasah yang tidak menolong insan untuk menghormati satu sama lain ini. Namun negara masih bernasib baik. Masih wujud politikus yang mempunyai akhlak yang baik walaupun tidak ramai bilangannya.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!