Magis Nasi Lemak Ondeng citarasa dulu-dulu
PASIR GUDANG - Air tangan ibu bukan sahaja menjadi pengikat kasih sayang antara keluarga malah dikatakan masakan yang paling sedap.
Seorang anak akan sentiasa merinduinya apatah lagi sekiranya ibunya sudah tiada. Penangan air tangan ibu memang tidak dapat dinafikan keistimewaan malah 'magis' masakannya sukar untuk diungkapkan.
Bagi pemain dram kumpulan Plague of Happiness, Elevent Avenue, Narsamum dan Clock, Md Fauzi Suradi, masakan ibu tiada tandingannya dan sentiasa rindu dengan air tangan orang tuanya itu.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Pozy berkata, antara yang paling diingati ialah nasi lemak ibunya kerana citarasanya tidak terdapat di mana-mana kedai terutama sambal tumis.
"Disebabkan 'mengidam' dengan nasi lemak ibu mendorong saya menghasilkan Nasi Lemak Ondeng sempena Ramadan. Nasi Lemak Ondeng yang saya hasilkan mempunyai rasa yang berbeza tidak seperti nasi lemak biasa.
“Nasi Lemak Ondeng menggunakan beras basmathi dengan kelapa parut, bukan santan kotak bagi menghasilkan nasi yang betul-betul berlemak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, sambal tumis pula amat penting dan dihasilkan dengan ramuan secukupnya kerana menjadi 'kunci' pembuka selera Nasi Lemak Ondeng.
Pozy berkata, rasa Nasi Lemak Ondeng dihasilkan dengan rasa klasik yang mengingatkan makanan tradisional itu pada era 80-an.
Mahu berkongsi keenakan Nasi Lemak Ondeng warisan ibunya, beliau menawarkan menu itu yang beralaskan daun pidang di kedainya di No 77, Jalan Rambai 12, Taman Kota Masai di sini pada setiap hari dari jam 4 hingga 7 petang.
Orang ramai boleh melayari Instagram @nasilemakondeng dan Facebook Nasi Lemak Ondeng.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!