Sayu berjauhan dengan keluarga
PETALING JAYA - Kemeriahan sambutan Ramadan pada zaman kini jauh bezanya seiring dengan peredaran dan perubahan teknologi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sambutan Ramadan ketika zaman kecilnya jauh berbeza jika dibandingkan dengan kanak-kanak zaman moden yang lebih suka menghabiskan masa bermain dengan gajet.
“Saya suka bermain mercun dan bunga api bersama rakan-rakan apabila menjelang Aidilfitri. Suasananya pada ketika itu meriah berbanding zaman kanak-kanak sekarang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Nik Ezanee berkata, pengalaman yang tidak boleh lupakan ketika tibanya Ramadan adalah sewaktu beliau perlu berjauhan dengan keluarga kerana melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat selama lima tahun pada 1998 sehingga 2003.
“Saya akan menghubungi ibu bapa untuk melepaskan kerinduan, memang terasa sebak apabila terpaksa menyambut Aidilfitri di perantauan,” katanya.
Mengenai juadah ketika berbuka puasa, Nik Ezanee berkata, menu kegemarannya semestinya ayam percik masakan Kelantan.
Katanya, selain masakan ibu, ayam percik antara hidangan wajib bagi keluarganya ketika berbuka puasa.
“Saya sanggup mencari dan membeli ayam percik asli dari Kelantan di bazar-bazar Ramadan. Mungkin kerana saya sudah biasa dengan masakan dari negeri asal ibu bapa saya,” katanya sambil tersenyum.
Beliau berkata, berpuasa pada bulan Ramadan bukanlah satu halangan bagi semua anggota keselamatan meneruskan tugas yang diamanahkan.
"Sebelum ini, saya telah turun ke lokasi-lokasi sekatan jalan raya untuk berbuka puasa bersama anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas.
“Kita bayangkan anggota yang bertugas itu sebagai keluarga kita sendiri demi memikul tugas dan amanah dalam memastikan perintah kawalan pergerakan (PKP) dapat dilaksanakan dengan jayanya pada ketika itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!