PKP: Shuttle Timur terus tabur jasa kepada rakyat Kelantan
GUA MUSANG - Bergerak seawal 4 pagi dari Stesen Keretapi Tumpat ke hentian akhirnya di Stesen Keretapi Gua Musang, tren henti-henti yang dinamakan "Shuttle Timur" ini tidak pernah jemu menabur jasanya kepada penduduk Kelantan setiap hari.
Perjalanan selama lapan jam dari Tumpat ke Gua Musang dan sebaliknya setiap hari sedikit pun tidak pernah melunturkan semangat lebih 100 pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menguruskan operasi tren sepanjang 227 kilometer membabitkan 11 stesen dan 22 perhentian itu.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kemudian disambung kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa ini, tren ini tetap 'diberi kuasa' meneruskan khidmat baktinya kepada rakyat negeri ini terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.
"Pengangkutan awam ini disifatkan sebagai satu perkhidmatan perlu pada masa PKP ini untuk membawa rakyat di pedalaman untuk mendapatkan keperluan harian mereka selain urusan perubatan di Hospital Kuala Krai dan di Gua Musang.
"Ia dianggap satu keperluan penting sekali untuk penduduk dan sebab itu tren ini akan menjalankan tanggungjawabnya setiap hari pada tempoh ini kerana penduduk yang tinggal di pedalaman sukar untuk bergerak menggunakan jalan raya," kata Pengurus Wilayah Timur KTMB, Redzuan Abdullah dalam satu pertemuan dengan Bernama di perhentian Bertam Baru di sini, baru-baru ini.
Shuttle Timur ini cukup terkenal dalam kalangan guru dan pelajar sekolah yang menggunakan perkhdmatan ini setiap hari sebelum PKP dilaksanakan.
"Kalau sebelum ini, empat gerabak tren ini membawa lebih 200 penumpang pada satu-satu masa tetapi pada masa PKP jumlahnya jauh berkurangan," kata Redzuan.
Katanya pernah semasa PKP fasa pertama, tren tersebut hanya membawa lima penumpang namun ketika PKPB berkuat kuasa, lebih 50 penumpang atau lebih dicatatkan setiap hari apabila kelonggaran diberikan kerajaan.
"Kita faham keadaan kerana penduduk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan hanya yang benar-benar memerlukan sahaja seperti untuk mendapatkan barangan atau mereka terdiri daripada peraih makanan termasuk yang mahu mendapatkan rawatan di hospital akan menggunakan tren ini," katanya.
Beliau berkata sepanjang PKP, penumpang yang akan menaiki tren itu akan diperiksa terlebih dahulu suhu badan selain perlu memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman.
"Kalau satu gerabak sebelum ini boleh memuatkan seramai 60 orang, kini dikurangkan kepada 30 orang kerana kita mengamalkan penjarakkan sosial kepada penumpang," katanya.
Penjaga trafik KTMB, Zakaria Hitam yang berkhidmat sejak 1986, mengakui pengalaman bekerja ketika PKP inilah dianggap cabaran paling istimewa dalam hidupnya.
"Ketika orang lain boleh bekerja di rumah, kami tetap bekerja, dari awal pagi sehingga ke malam, demi untuk membawa penumpang yang tinggal di pedalaman," katanya yang mengakui tidak pernah melihat hanya lima penumpang, angka paling sedikit, menaiki tren tersebut pada awal PKP.
Mengakui rindu riuh rendah pelajar sekolah dan peraih yang dianggap sudah menjadi rakan baik semasa bertugas, beliau berharap wabak COVID-19 ini berakhir dengan cepat.
Sementara itu, penumpang Fauzi Mat Daud, 62, yang lebih selesa menaiki tren berhawa dingin itu kerana berpeluang melihat pemandangan kawasan pedalaman yang menghijau sepanjang perjalanan, juga yakin dengan SOP yang diambil pengurusan KTMB.
"Tempat duduk kerusi juga dijarakkan dan saya rasa selamat menaiki tren ini," katanya.
Bagi peniaga kedai runcit Salmah Abu, 47, beliau berterima kasih kepada kerajaan yang membenarkan tren ini beroperasi bagi membolehkan peruncit sepertinya mendapatkan bekalan barangan.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!