Bomba Terengganu fokus nyahcemar masjid, surau

Bomba melakukan proses nyah cemar di stesen bas.
Bomba melakukan proses nyah cemar di stesen bas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu kini memfokuskan operasi nyahcemar di masjid dan surau di negeri ini bagi memastikannya selamat digunakan dan bebas wabak koronavirus (Covid-19).

Ia susulan kebenaran untuk solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Jumaat ini setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pengarah JBPM Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, pihaknya sudah melakukan operasi nyahcemar sebelum ini dan proses itu akan dilakukan sekali lagi.

MD HILMAN ABD RASHID
MD HILMAN ABD RASHID

"Prosedur ini akan dilakukan bagi memastikan masjid dan surau selamat untuk jemaah dan kita tunggu kelulusan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Setakat ini, kita lakukan sanitasi di 486 lokasi bermula 30 Mac lalu di tempat-tempat yang agak kritikal dan berlaku pertemuan serta sentuhan seperti pasar awam dan pasar raya secara berperingkat.

"Kemaman merekodkan jumlah operasi tertinggi iaitu sebanyak 130 lokasi diikuti Kuala Terengganu sebanyak 116, Setiu (78), Dungun (72), Marang (38), Besut (30), Hulu Terengganu (12) dan Kuala Nerus (10)," katanya ketika ditemui di Balai Bomba Penyelamat Kuala Terengganu di sini malam tadi.

Kerajaan Terengganu sebelum ini mengumumkan pelaksanaan solat Jumaat bermula Jumaat ini dengan syarat yang ketat, setelah mendapat perkenan Sultan Mizan Zainal Abidin.

Artikel Berkaitan:

Antara syarat yang ditetapkan adalah hanya satu masjid dibenarkan untuk diadakan solat Jumaat bagi satu daerah dan bilangan ahli jemaah hendaklah tidak melebihi 40 orang.

Mengulas lanjut, Md Hilman berkata, selain masjid dan surau pihaknya kini melakukan proses sanitasi awam di premis kerajaan yang sudah beroperasi dan kenderaan yang digunakan untuk membawa penuntut institut pengajian tinggi sebelum ini.

Proses nyah cemar juga dilakukan di taman awam.
Proses nyah cemar juga dilakukan di taman awam.

Proses itu katanya, akan diteruskan di Terengganu bagi memastikan Covid-19 dapat dibendung dan dihapuskan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, JBPM Terengganu merekodkan 256 panggilan kebakaran, penyelamatan dan tugas-tugas khas yang lain sejak 1 Mei lepas.

"Jika dilihat, penurunan itu agak ketara berbanding 355 panggilan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Selain itu, kita dapati pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lepas juga membantu dalam mengurangkan jumlah kebakaran terbuka di kawasan belukar dan hutan iaitu hanya 710 berbanding 1,397 kes dalam tempoh sama tahun lepas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!