ADUN PH Selangor jangan jadi pengkhianat: MB
HULU KELANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) perlu patuh dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menumpukan isu rakyat dan tidak menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau yakin pendirian ADUN PH di Selangor yang kekal menyokong pentadbiran kerajaan negeri sedia ada, namun pihaknya tidak mengambil mudah perkara itu.
"Saya berharap ADUN PH yang mendapat sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dapat meneruskan amanah dan tanggungjawab, tidak khianat hingga rosakkan pentadbiran negeri.
"Titah baginda semasa merasmikan pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini berpesan agar tidak ada ganggu gugat politik kepada pentadbiran kerajaan negeri.
"Saya yakin semua ADUN faham dengan hasrat Tuanku yang mahukan kerajaan negeri kekal stabil," katanya pada program sumbangan Aidilfitri di Dewan AU2 Keramat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan wujud cubaan menukar kerajaan PH ke Perikatan Nasional seperti berlaku di Perak, Kedah, Johor dan Melaka.
Menurut satu sumber boleh dipercayai, gerakan itu didakwa dilakukan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama ADUN Selangor yang pro kepadanya menerusi satu pertemuan yang diadakan kelmarin.
Menurut sumber tersebut, mereka yakin akan berjaya membawa masuk beberapa orang ADUN Parti Demokratik Rakyat (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah) menyertai kumpulan tersebut.
Jika mereka berjaya, bermakna Selangor akan mengikuti empat negeri terdahulu beralih kepimpinan dari kerajaan PH kepada kerajaan Perikatan Nasional.
Nama Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua selain ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi dan ADUN Lembah Jaya, Haniza Talha turut dikaitkan menjadi tulang belakang perlaksanaan perancangan itu.
Amirudin berkata, namanya sering dikaitkan dengan Ahli Parlimen Gombak itu sejak tahun 2008 lagi namun sehingga kini beliau masih kekal bersama PH.
"Tiada keperluan mengubah kestabilan pentadbiran di Selangor memandangkan kerajaan negeri memberikan perkhidmatan terbaik sementara rakyat mendapat manfaatnya.
"Kita harus belajar dan insaf dengan apa yang berlaku di Persekutuan yang pentadbirannya belum betul-betul stabil selepas berlakunya langkah Sheraton dan tindakan menukar kerajaan di tengah penggal.
"Masing-masing ada ruang setiap lima tahun untuk pilihan raya dan setakat ini kita tak pernah gagal melaksanakannya. Tumpuan yang ada sekarang adalah usaha untuk memulihkan negara dan memastikan rakyat bebas koronavirus (Covid-19)," katanya.
Terdahulu sebanyak 2,000 pek Aidilfitri diedarkan di Parlimen Gombak di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MBI yang diadakan setiap tahun bagi meringankan beban penerima dan golongan memerlukan hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!