Polis tembak tayar pertahankan diri

Rakaman video anggota JSPT melepaskan tembakan ke arah tayar kereta tular di laman sosial.
Rakaman video anggota JSPT melepaskan tembakan ke arah tayar kereta tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah kereta Nissan Teana dengan niat untuk mempertahankan diri.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian pada jam 4.30 petang kelmarin, anggota berkenaan sedang bertugas di Jalan Genting Klang susur Jalan Air Panas sebelum mengesan kenderaan yang dinaiki dua lelaki yang melanggar lampu isyarat.

“Anggota terbabit cuba menahan kereta tersebut namun pemandunya tidak mahu berhenti dan terus memecut laju menghala ke Jalan Gombak.

"Anggota JSPT telah mengekori kereta yang dinaiki suspek kemudian kereta itu cuba menghimpitnya. Kereta itu juga telah melanggar beberapa buah kenderaan di Jalan Gombak menuju ke Kampung Padang Balang,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Zulkefly berkata, keadaan lalu lintas di kawasan itu agak sesak, anggota terbabit telah memberhentikan motosikalnya di tepi jalan dan cuba mengejar serta menahan kereta itu.

“Anggota terbabit juga terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta berkenaan namun kereta itu masih memecut laju sehingga memasuki Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE),” katanya.

Beliau berkata, kereta yang dinaiki suspek telah terbabas dan tersangkut di penghadang tengah lebuh raya berkenaan.

“Suspek telah melarikan diri dan polis telah menjumpai satu peket plastik dipercayai dadah jenis syabu dalam kereta itu.

Artikel Berkaitan:

"Polis masih mengesan suspek, kereta tersebut dipercayai milik seorang wanita yang beralamat di Senai, Johor,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!