EU sokong WHO, kritik tindakan Trump
BRUSSELS - Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa mengkritik tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengancam untuk terus memotong dana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan menarik diri daripada badan kesihatan dunia itu.
Trump berkata demikian, menerusi surat yang ditujukan kepada Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dan dimuat naik di Twitternya pada Isnin, lapor agensi berita Xinhua.
Seorang jurucakap Suruhanjaya Eropah, berkata, blok itu "menyokong kerjasama antarabangsa dan penyelesaian multilateral dalam krisis ini - krisis pandemik."
"Sekarang adalah masa untuk bersatu. Bukan masa untuk menuding jari atau mencari kelemahan pihak lain serta mengganggu-gugat kerjasama multilateral," kata jurucakap itu.
"EU menyokong usaha WHO untuk membendung dan mengurangkan wabak koronavirus (Covid-19) serta telah menyalurkan dana tambahan sebagai menyokong usaha ini," katanya.
"Kerjasama dan perpaduan seluruh dunia melalui usaha multilateral satu-satunya kaedah paling berkesan untuk memenangi pertempuran ini." - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Trump gelar WHO sebagai ‘boneka China’
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!