Perlis tiada hak halang penutupan kilang gula
KANGAR - Kerajaan Perlis tiada hak untuk menghalang keputusan kilang gula, MSM Sdn Bhd yang mahu menghentikan operasi mereka di negeri itu.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, kerajaan negeri telah mengadakan perjumpaan dengan pihak kilang berkenaan berikutan isu keputusan penutupan kilang itu sejak Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun menurutnya, meskipun perjumpaan telah dibuat, namun pihak MSM Sdn Bhd masih lagi bertegas mahu menghentikan operasi mereka.
"Kilang gula ini adalah milik MSM dan bukannya milik kerajaan negeri seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak.
"Apa sahaja keputusan yang diambil oleh pihak MSM adalah atas pertimbangan mereka sendiri," katanya ketika ditemui di Pejabat Menteri Besar di sini semalam.
Menurut Azlan, pihak kerajaan negeri turut menyatakan implikasi kepada MSM sekiranya kilang gula berkenaan ditutup.
"Namun kita akur dengan keputusan mereka kerana kita sendiri tidak mengetahui masalah yang mereka hadapi sama ada dari segi kewangan ataupun sebagainya," katanya.
Kelmarin Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim menggesa supaya keputusan untuk menutup operasi kilang gula di Perlis itu dipertimbangkan semula.
Perkara itu disifatkan sebagai tidak wajar berikutan bakal memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi Perlis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!