Kemuka dokumen palsu: Lapan kontraktor dibebas, dua disambung reman
KOTA KINABALU - Lapan daripada 10 kontraktor yang direman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan projek Pejabat Pendidikan Negeri Sabah, dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Stephanie Sherron Abbie membebaskan masing-masing dengan ikat jamin RM8,000 dan dua penjamin tempatan selain perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM.
Sementara itu, mahkamah sama membenarkan permohonan SPRM untuk melanjutkan perintah reman selama empat hari terhadap dua lagi kontraktor, masing-masing berusia 30 dan 59 tahun, bagi membantu SPRM meneruskan siasatan berhubung kes berkenaan.
Kumpulan kontraktor berkenaan adalah antara 25 individu yang ditahan reman di seluruh Sabah sejak Selasa lepas bagi membantu siasatan kes menurut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!