Restoran guna meja unik kekal jarak sosial
MARYLAND - Sebuah restoran mengambil langkah kreatif dalam menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) apabila menyediakan meja berbentuk bulat bagi mengekalkan jarak sosial antara pelanggannya.
Lapor Daily Mail, restoran popular terletak di Ocean City, Maryland itu menggunakan bumper saiz gergasi bagi mencipta meja tersebut.
Penggunaan meja unik ini bertujuan membantu para pelanggannya memahami jarak sosial dengan jarak enam kaki ketika menggunakan meja berkenaan.
Meja individu tersebut memiliki empat roda bagi memudahkan pergerakan pelanggan dan tidak digalakkan terlalu rapat dengan pelanggan lain.
Pemilik restoran Shawn Harman berkata, dia mencipta meja unik kerana mahu mencegah wabak Covid-19.
"Bila guna meja ini, pelanggan tidak akan rapat antara satu sama lain, pelayan juga mudah untuk hantar makanan apabila jarak antara mereka jauh," katanya.
Tambahnya, kerajaan turut menyarankan agar pemilik restoran mengikut syarat ditetapkan iaitu jaga kebersihan, kekalkan jarak sosial, sebelum mulakan perniagaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!