Perak umum pakej rangsangan kedua lebih RM71 juta

Ahmad Faizal mengumumkan PRE 2 dengan nilai melebihi RM17.17 juta, hari ini.
Ahmad Faizal mengumumkan PRE 2 dengan nilai melebihi RM17.17 juta, hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Fasa Kedua (PRE 2) bernilai RM71,171,820 membabitkan pelbagai sektor seperti perniagaan, pertanian dan pelancongan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pengumuman itu menjadikan jumlah keseluruhan pakej rangsangan ekonomi negeri itu melebihi RM100 juta.

Menurutnya, pakej rangsangan ekonomi kali ini memberikan lebih penumpuan kepada usaha membantu masyarakat perniagaan di negeri ini khususnya pengusaha mikro dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Pentadbiran ini mendengar keluh kesah dan kebimbangan dewan-dewan perniagaan, persatuan peniaga dan penjaja kecil mengenai kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap survival perusahaan dan perniagaan Mak Cik Kiah, Kak Limah, Encik Muthusamy dan Mr Lim. Justeru, kerajaan negeri memperuntukkan RM18.36 juta bagi tujuan ini.

"Daripada jumlah itu, RM10 juta diperuntukkan bagi menyediakan skim pembiayaan mudah akses kepada usahawan PKS. Ia bertujuan memberikan suntikan modal dan meningkatkan aliran tunai usahawan PKS.

"Skim pembiayaan ini akan melibatkan kerjasama dengan institusi perbankan dan rakan strategik. Kita sedar bahawa perusahaan mikro, yang membentuk lebih tiga perempat daripada jumlah PKS adalah antara golongan yang paling terjejas akibat pelaksanaan PKP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa Kedua di Pejabat Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Menurutnya, selain itu, kerajaan negeri memutuskan bahawa tarikh akhir bayaran cukai taksiran premis perniagaan bagi setengah tahun kedua tahun ini dilewatkan dari bulan Ogos kepada bulan Oktober 2020 manakala tarikh akhir bayaran cukai tanah bagi tahun 2020 pula dilewatkan dari 31 Mei kepada 30 Jun 2020.

Ahmad Faizal dalam pada itu turut mengumumkan pemberian diskaun bil air secara berperingkat kepada pengguna perniagaan dan industri pada kadar antara 2 hingga 20 peratus selama empat bulan mulai Mei hingga Ogos 2020 dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.7 juta kepada kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Bagi sektor pertanian pula, beliau berkata, kerajaan negeri telah menjajarkan program sedia ada dan memperuntukkan dana tambahan bagi pelaksanaan projek-projek pertanian, penternakan serta perikanan berimpak tinggi dengan jumlah peruntukan sebanyak RM15.6 juta.

Menurutnya, perkara itu merupakan komitmen kerajaan sebagai menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai peri pentingnya jaminan makanan negara.

Ahmad Faizal berkata, dalam usaha memperkasa sektor pelancongan pula, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM10.84 juta sebagai langkah proaktif dengan merangka strategi dan inisiatif bagi menyokong pemulihan industri pelancongan.

"Untuk merangsang pemulihan sektor pelancongan, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.06 juta bagi menambah baik dan mempelbagaikan Strategi Penggalakkan Pelancongan. Ini melibatkan aspek promosi, pemasaran, penganjuran acara, digitalization dan pembangunan.

"Tambahan peruntukan sebanyak RM0.5 juta dikhususkan bagi penganjuran program-program pemerkasaan komuniti seni, budaya dan warisan negeri Perak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal menjelaskan kebajikan rakyat terus diberi perhatian dalam PRE 2 dengan peruntukan lebih RM10 juta, termasuk bantuan RM3.42 juta kepada 116 buah Maahad Tahfiz swasta melibatkan peruntukan berjumlah RM1.16 juta.

Menurutnya, turut menerima manfaat daripada PRE 2 itu adalah seramai 2,830 orang tenaga pengajar maahad tahfiz berkenaan dengan pemberian iaitu sebanyak RM800 seorang menerusi Bantuan Sara Diri Tenaga Pengajar Maahad Tahfiz.

Beliau berkata, seramai 1,977 pendidik dan pengasuh di institusi-institusi pendidikan awal akan menerima bantuan kewangan one-off sebanyak RM500 seorang dengan peruntukan hampir RM1 juta.

Sementara itu, bagi meringankan beban rakyat, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk mengecualikan denda lewat bagi Cukai Tanah Berulang sehingga 31 Ogos 2020 untuk semua jenis hak milik.

Katanya, pemberian diskaun 10 peratus hingga 20 peratus turut diberikan ke atas tunggakan cukai tanah dengan anggaran kos sebanyak RM6.48 juta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!