KKM siasat kes ibu mengandung positif Covid-19 di Kelantan

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang ibu mengandung dari Kuala Lumpur yang pulang bercuti ke Kuala Krai, Kelantan disahkan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini pesakit berkenaan telah diasingkan dan diberi rawatan sepatutnya.

Menurutnya, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan bagi mengesan punca jangkitan itu dan mengenal pasti kontak rapat pesakit berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Perantau bawa Covid-19 ke Kelantan

“Kita juga sedang menjalankan tindakan seterusnya untuk mengenal pasti kontak rapat dan mengesan dari mana jangkitan itu didapati sama ada daripada kawasan zon merah atau sebaliknya.

“Jadi kita sedang menjalankan siasatan dan jika telah menemui keputusan kita akan maklumkan kepada semua,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kes dari Ampang itu berada di dalam zon merah dan pulang ke kampungnya di Kelantan yang umum sedia maklum berada pada zon hijau sejak lebih sebulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 'ragut' zon hijau Kelantan, Kedah

“Jadi apabila sampai ke kampung, pesakit yang mengandung 35 minggu ini telah datang ke klinik kesihatan untuk menjalankan saringan kesihatan.

“Hasratnya adalah untuk melahirkan bayi tersebut di kampung tetapi apabila dilaksanakan ujian Covid-19, dia didapati positif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu menjawab soalan mengenai isu rentas negeri yang melibatkan pesakit dari zon merah ke zon hijau itu, Dr Noor Hisham berkata, ketika ini kerajaan telah menyekat perjalanan rentas negeri dan orang ramai tidak dibenarkan untuk keluar sempadan negeri.

Katanya, hanya rentas sempadan daerah yang dibenarkan dan dikuatkuasakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk melibatkan dari kawasan zon merah ke zon hijau.

“Ini sebenarnya yang kita bimbang kerana kita tidak pasti sama ada dijangkiti atau tidak. Apabila kita pulang ke kampung dan tidak bergejala tetapi dijangkiti, besar kemungkinan kita akan menjangkiti ahli keluarga di kampung.

“Jadi kita nasihatkan mereka yang berada di zon merah kalau boleh jangan pulang ke kampung dan kekal duduk di rumah serta sambut Aidilfitri secara tertutup,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!