Pesakit kanser hidung bersyukur tak perlu bayar hutang PTPTN

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Abdul Halim menjual arnab bagi membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menampung perbelanjaan membeli nestum.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Abdul Halim menjual arnab bagi membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menampung perbelanjaan membeli nestum.
A
A
A

MACHANG - Seorang penghidap kanser hidung, Abdul Halim Mat Hassan, 26, yang juga graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersyukur apabila tidak lagi perlu membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Abdul Halim menjual arnab bagi membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menampung perbelanjaan membeli nestum.

Pengurus Besar PTPTN Kelantan, Mohd Azrul Akmal Mamat berkata, keseluruhan hutang pinjaman PTPTN Abdul Halim sebanyak RM26,000 telah pun selesai melalui manfaat takaful.

"Ini bermakna peminjam tidak perlu risau untuk membuat sebarang bayaran balik bagi pinjaman PTPTN semasa pengajian di UMK.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit kanser hidung jual arnab bayar hutang PTPTN

"Skim Pembiayaan Pendidikan dengan perlindungan takaful berkelompok dilaksanakan oleh PTPTN bertujuan untuk melindungi pembiayaan yang diberikan oleh PTPTN sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh kepada peminjam.

"Di bawah konsep perlindungan takaful berkelompok ini, amaun prinsipal pembiayaan pendidikan yang dikeluarkan oleh PTPTN kepada semua peminjam atau baki prinsipal akan mendapat perlindungan sepenuhnya daripada syarikat pengendali takaful yang dilantik oleh PTPTN," katanya.

Beliau ditemui selepas mengunjungi Abdul Halim di rumahnya di Machang hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Halim juga memberitahu, tiada kata yang dapat digambarkannya selain bersyukur kerana tiada hutang lagi dengan PTPTN meskipun dia telah berusaha sebaik mungkin untuk membuat pembayaran sebagaimana peminjam yang lain.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, hanya ALLAH SWT sahaja mampu balas jasa anda semua," katanya.

Sehingga 31 Mac 2020, seramai 10,742 peminjam telah mendapat manfaat daripada perlindungan takaful dengan jumlah RM182.5 juta.

Selain itu seramai 9,857 waris atau penuntut telah menerima khairat kematian sebanyak RM13.12 juta untuk tempoh yang sama.

PTPTN sebagai sebuah agensi pembiaya utama pendidikan tinggi negara sentiasa memikirkan kebajikan peminjamnya dan diharapkan penjelasan dapat menjawab sebarang persoalan berkenaan perkara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!