Halim Napi sumber inspirasi Apek
PENJAGA gol berpengalaman negara yang kini beraksi bersama Melaka, Khairul Fahmi Che Mat, mendedahkan bekas penjaga gol Kelantan, Halim Napi adalah idolanya ketika di awal pembabitan karier sebagai pemain bola sepak.
Malah pengalaman mendapat tunjuk ajar pada musim 2009 oleh Halim ketika di Kelantan kekal menjadi kenangan manis buat Khairul Fahmi yang terus melonjak tinggi dalam kariernya selepas itu sehingga menjadi penjaga gol nombor satu Harimau Malaya.
Khairul Fahmi yang mesra disapa Apek mengakui ada sebab tersendiri untuk meminati Halim yang disifatkan mempunyai sikap yang cukup tegas di atas padang malah ada ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan sebagai benteng terakhir pasukan.
“Halim memang merupakan idola saya sejak kecil lagi dan selalu ikuti kariernya dengan penuh minat sebelum tanpa disangka akhirnya dapat menjadi rakan sepasukan pada tahun 2009.
“Karakternya bagi saya agak jarang dijumpai terhadap mana-mana pemain kerana begitu tegas di atas padang malah kehadirannya selaku penjaga gol selalu menghadirkan kegerunan kepada pihak lawan.
“Kalau bola dalam situasi 50-50 mahu pun 70-30 sekali pun, saya selalu lihat mana-mana penyerang takut untuk beri cabaran kepadanya kerana mereka tahu dia memang sukar digugat serta agresif dalam mendapatkan bola.
“Saya juga bertuah mendapat tips dan nasihat ketika kami masih bergelar rakan sepasukan, walaupun caranya agak garang seolah-olah seperti memarahi saya tetapi saya faham itu adalah cara orang lama mengajar malah segala yang diajarnya masih diingati sampai hari ini,” katanya.
Sementara itu, dia dalam masa sentiasa menyanjungi Badhri Radzi yang lebih dikenali sebagai Piya sebagai antara pemain yang sentiasa ada kejutan di atas padang.
Baginya, cukup banyak memori manis bersama Piya ketika di Kelantan sambil mengakui dia antara pemain tengah terbaik di Liga Malaysia ketika di kemuncak prestasi.
“Segala hantaran dan dan cubaan dari Piya sentiasa menghasilkan keajaiban kepada pasukan dan jika dahulu kalau bola sampai kakinya, kami semua tahu pasti akan sesuatu boleh terhasil.
“Hantaran lolosnya sentiasa punyai visi dan cukup berkualiti, mengenai aspek teknikalnya, saya rasa semua orang sudah tahu ketika dia membantu Kelantan memenangi beberapa kejuaraan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!